Terkini
Ahli Kongres AS guna isu ‘anti-Semitisme’ untuk campur urusan Malaysia
- Ahli Parlimen Bangi, Syahredzan Johan berkata, tindakan ahli-ahli Kongres AS berkenaan mencerminkan sikap tipikal Washington yang memandang rendah negara lain serta cuba menentukan bagaimana sesebuah negara berdaulat dan demokratik harus ditadbir.
- “Dalam isu ini, mereka sekali lagi menggunakan label ‘anti-Semitisme’ sebagai senjata untuk menutup sebarang kritikan terhadap negara Israel.
- “Daripada cuba mengajar kita cara mengendalikan urusan sendiri, mereka sepatutnya lebih berusaha untuk menghentikan peperangan AS dengan Iran,” katanya.
KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Bangi, Syahredzan Johan menyifatkan gesaan lapan penggubal undang-undang Amerika Syarikat (AS) supaya Washington menilai semula hubungan dengan Malaysia sebagai cubaan mencampuri urusan negara berdaulat dan menentukan dasar Malaysia.
Menurut Syahredzan, tindakan ahli-ahli Kongres AS berkenaan mencerminkan sikap tipikal Washington yang memandang rendah negara lain serta cuba menentukan bagaimana sesebuah negara berdaulat dan demokratik harus ditadbir.
“Dalam isu ini, mereka sekali lagi menggunakan label ‘anti-Semitisme’ sebagai senjata untuk membungkam sebarang kritikan terhadap negara Israel.
“Alasan anti-Semitisme dijadikan asas untuk campur tangan dalam urusan negara kita,” katanya dalam satu kenyataan.
Syahredzan berkata, penggubal undang-undang AS sepatutnya memberi tumpuan kepada isu yang lebih besar, termasuk usaha menghentikan peperangan melibatkan Amerika Syarikat dengan Iran yang menurutnya telah mengakibatkan penderitaan dan kesengsaraan kepada masyarakat dunia.
“Daripada cuba mengajar kita cara mengendalikan urusan sendiri, mereka sepatutnya lebih berusaha untuk menghentikan peperangan AS dengan Iran,” katanya.
Syahredzan turut mendakwa dunia kini sedang menanggung kesan daripada sikap angkuh Amerika Syarikat, namun dalam masa sama, penggubal undang-undang negara itu masih mahu menentukan cara negara lain ditadbir.
“Dunia sedang menanggung akibat daripada sikap angkuh Amerika, namun mereka masih berani memberitahu kita cara untuk mentadbir negara sendiri,” katanya.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 15 Julai lalu menegaskan Malaysia tidak mengiktiraf Israel, justeru mana-mana rakyat Israel yang dikesan berada di Malaysia akan diusir serta-merta.
Menurutnya, kerajaan sedang menjalankan siasatan menyeluruh melalui Kementerian Dalam Negeri, Jabatan Imigresen, polis dan agensi berkaitan terhadap dakwaan berkenaan. – The Merdeka Times