Terkini
Pengasas Network School Forest City angkuh ugut tarik pelaburan – Zaid Ibrahim
- “Individu dari Network School di Forest City ini kedengaran sangat angkuh. Dia mahukan jaminan dan pertemuan dengan Perdana Menteri, atau dia akan menarik keluar semua pelaburan bernilai berbilion dolar. Dia pasti sekaya Bill Gates,” – Bekas Menteri Undang-Undang, Datuk Zaid Ibrahim
- Menurut Zaid, individu berkenaan bagaimanapun tidak menyentuh secara langsung perkara yang menjadi subjek siasatan, iaitu kehadiran individu yang disifatkannya sebagai mempunyai kewarganegaraan Yahudi.
KUALA LUMPUR – Bekas Menteri Undang-Undang, Datuk Zaid Ibrahim menyifatkan kenyataan pengasas Network School yang beroperasi di Forest City, Iskandar Puteri, Balaji Srinivasan sebagai angkuh selepas individu itu didakwa menuntut jaminan serta pertemuan dengan Perdana Menteri, selain mengancam untuk menarik keluar pelaburan bernilai berbilion dolar.
Zaid berkata, individu berkenaan seolah-olah mahu menggunakan nilai pelaburan sebagai tekanan terhadap kerajaan.
“Individu dari Network School di Forest City ini kedengaran sangat angkuh. Dia mahukan jaminan dan pertemuan dengan Perdana Menteri, atau dia akan menarik keluar semua pelaburan bernilai berbilion dolar.
“Dia pasti sekaya Bill Gates,” katanya menerusi hantaran di Facebook.
Menurut Zaid, individu berkenaan bagaimanapun tidak menyentuh secara langsung perkara yang menjadi subjek siasatan, iaitu kehadiran individu yang disifatkannya sebagai mempunyai kewarganegaraan Yahudi.
Beliau turut memuji pegawai kanan kerajaan di Putrajaya kerana mengambil langkah berjaga-jaga bagi memastikan dana yang dikaitkan dengan Zionis tidak mengalir masuk ke negara ini tanpa penelitian.
“Pegawai tertinggi Malaysia di Putrajaya wajar dipuji atas kewaspadaan mereka. Mereka mahu memastikan wang Zionis tidak mengalir masuk ke sini,” katanya.
Zaid mendakwa dana berkaitan Zionis kini sedang mencari lokasi baharu untuk dilaburkan selepas kedudukan mereka di Asia Barat semakin terdedah.
Beliau memberikan Argentina sebagai contoh dengan mendakwa negara itu menyediakan kawasan seluas 100,000 hektar bagi tujuan pelaburan dan penempatan Zionis.
Menurutnya, Malaysia perlu lebih berhati-hati apabila menerima pelaburan asing dalam sektor strategik, termasuk unsur nadir bumi, pusat data dan lapangan terbang.
“Apabila negara lain tidak mahu memenuhi kehendak mereka dalam soal nadir bumi, mereka datang ke sini.
“Apabila negara lain tidak mahu menerima pusat data mereka, kita mengalu-alukan mereka datang ke sini, dan mereka sudah mempunyai kepentingan dalam lapangan terbang kita,” katanya.
Zaid berkata, Malaysia mudah tertarik dengan pelabur yang menawarkan dana bernilai berbilion dolar, namun kerajaan perlu memastikan kepentingan ekonomi tidak mengatasi keselamatan, kedaulatan dan dasar negara.
Beliau memberi amaran bahawa kegagalan meneliti latar belakang serta kepentingan pihak yang membawa pelaburan besar boleh menyebabkan Malaysia terdedah kepada pengaruh luar.
“Oleh sebab kita tertarik kepada pelabur yang mempunyai berbilion-bilion dolar, kita perlu berhati-hati.
“Jika tidak berhati-hati, suatu hari nanti kita akan menjadi negara satelit Zionis seperti Kuwait, Emiriah Arab Bersatu dan Bahrain,” katanya.
Zaid menyifatkan negara-negara sedemikian mungkin kelihatan mewah dan kaya dari luar, tetapi sebenarnya lemah serta terikat kepada pengaruh pihak lain.
“Kelihatan berkilauan dan sangat kaya dari luar, tetapi hakikatnya miskin dan menjadi boneka di dalam,” katanya.– The Merdeka Times