Connect with us

Terkini

“Kerajaan yang matang tidak takut kepada media” – Wan Fayhsal

Published

on

Foto: Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal.
  • Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal mempersoal siapa yang mengawal MCMC apabila kuasanya diperbesar, terutama jika arahan Menteri masih boleh dikeluarkan kepada suruhanjaya itu.
  • Menurut beliau, dalam dunia moden, media sosial kini muncul sebagai kuasa baharu yang mampu membentuk persepsi rakyat dengan lebih pantas.
  • “Sebab itulah kerajaan yang matang tidak takut kepada media. Kerajaan yang matang tidak takut kepada wartawan. Kerajaan yang matang tidak takut kepada kritikan rakyat,” katanya.

KUALA LUMPUR — Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal, menyuarakan kebimbangan terhadap perluasan kuasa Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) sekiranya ia tidak disertai mekanisme semak dan imbang yang jelas.

Berucap di Dewan Rakyat hari ini, beliau berkata media memainkan peranan penting dalam demokrasi dan tidak sewajarnya dilihat sebagai musuh kerajaan.

Menurut beliau, media sejak sekian lama dikenali sebagai kuasa keempat dalam demokrasi selepas eksekutif, legislatif dan kehakiman. 

Namun dalam dunia moden, katanya, media sosial kini muncul sebagai kuasa baharu yang mampu membentuk persepsi rakyat dengan lebih pantas.

“Hari ini, satu video berdurasi satu minit, satu ciapan atau satu hantaran yang tular mampu mengubah keputusan pilihan raya, menjatuhkan kerajaan, malah mencetuskan revolusi.

“Sebab itulah kerajaan yang matang tidak takut kepada media. Kerajaan yang matang tidak takut kepada wartawan. Kerajaan yang matang tidak takut kepada kritikan rakyat,” katanya.

Wan Fayhsal berkata beliau menyokong usaha memperkukuh keselamatan siber, membanteras penipuan dalam talian, eksploitasi seksual kanak-kanak, jenayah siber dan penyalahgunaan platform digital.

Bagaimanapun, beliau menegaskan usaha itu tidak boleh dijadikan alasan untuk memperluas kuasa pengawal selia tanpa memastikan institusi tersebut bebas daripada pengaruh politik.

“Persoalan terbesar pada hari ini bukanlah sama ada MCMC memerlukan lebih banyak kuasa. Persoalannya ialah siapakah yang mengawal MCMC apabila MCMC diberi lebih banyak kuasa,” katanya.

Beliau turut membandingkan amalan di negara lain seperti United Kingdom dan Australia, yang menurutnya memberi penekanan kepada konsultasi awam, ketelusan, semakan kehakiman, pendidikan serta pengawalseliaan berasaskan risiko.

Sebaliknya, beliau mendakwa Malaysia kini sedang memperluas kuasa MCMC “seperti Big Brother”, tetapi tanpa reformasi setara bagi menjamin kebebasan institusi itu daripada kawalan politik.

Wan Fayhsal turut merujuk pengalamannya sendiri apabila rakaman perbahasannya di Dewan Rakyat pada 22 Januari 2024 berhubung hubungan Parti Keadilan Rakyat dengan Liberal International didakwa diarahkan untuk diturunkan oleh MCMC melalui platform Meta.

“Saya ada imuniti dan saya hanya mengambil fakta yang diterbitkan dalam media. Tapi MCMC telah menyuruh Meta menurunkan rakaman perbahasan saya di Dewan Yang Mulia ini atas alasan menyinggung perasaan kepimpinan tertinggi PKR.

“Jadi di mana keadilan buat MCMC? Bila mana kami membahaskan fakta, bukan fitnah,” katanya. – The Merdeka Times

Please follow and like us:
error20
fb-share-icon0
Tweet 20
fb-share-icon20

Author