Terkini
‘Kita akan halau mereka,’ PM beri amaran kepada warga Israel di Network School
- Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim imenegaskan kerajaan akan menghalau mana-mana warga Israel yang didapati terlibat dengan Network School, sebuah komuniti kediaman bersama (co-living) dan ruang kerja bersama (co-working) di Forest City, Johor.
- Beliau berkata, perkara itu kini sedang disiasat oleh pihak berkuasa berkaitan termasuk Kementerian Pengajian Tinggi.
- “Jika ada, tindakan akan diambil. Jika ada warga Israel, kita tidak benarkan. Kita akan halau mereka,” katanya.
KUALA LUMPUR – Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini memberi amaran bahawa kerajaan akan mengusir segera mana-mana rakyat Israel yang dikesan terlibat dengan Network School di Forest City, Johor.
“Kalau ada rakyat Israel, kita tidak izinkan. Mereka akan diusir,” tegas Anwar pada Majlis ‘A Celebration of Life and Peace’ anjuran ERM Foundation di Mandarin Oriental hotel.
Beliau menegaskan siasatan sedang dijalankan agensi berkaitan dan Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Zambry Abdul Kadir akan memberi penjelasan lanjut.
“Kita siasat. Kita tidak izinkan. Kalau ada, tindakan mesti diambil,” katanya.
Kontroversi Network School tercetus selepas MB Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi mengarahkan siasatan menyeluruh berhubung dakwaan kemasukan warga Israel menggunakan pasport kedua.
Ahli Parlimen PAS Tumpat Datuk Mumtaz Md Nawi turut mengemukakan usul tergempar di Dewan Rakyat, membangkitkan kebimbangan warga Israel menggunakan platform ekonomi dan pendidikan untuk menembusi Malaysia.
Semalam, Jabatan Imigresen memeriksa 266 warga asing dari 40 negara dan mengesahkan semua memiliki dokumen perjalanan sah. Siasatan lanjut bagaimanapun diteruskan bagi memastikan tiada pelanggaran syarat kemasukan.
Network School, komuniti kediaman dan ruang kerja bersama swasta yang dilancarkan 2024 oleh bekas CTO Coinbase Balaji Srinivasan, mengenakan bayaran AS$1,500 sebulan.
Kontroversi semakin hangat apabila pengasasnya pernah merujuk visinya sebagai “tech Zionism”, manakala pempengaruh Israel Nas Daily turut mempromosikan komuniti itu. – The Merdeka Times