Connect with us

Terkini

PRN Johor: 55 Calon Hilang Wang Deposit

Published

on

Foto: Gambar Sekadar Hiasan.
  • Seramai 55 calon hilang wang deposit dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke‑16 yang berlangsung semalam.
  • Kehilangan deposit berpunca daripada kegagalan memperoleh sekurang‑kurangnya satu perlapan (1/8) daripada jumlah undi yang dikira di kawasan masing‑masing.
  • Antara parti yang terlibat ialah Perikatan Nasional (PN) yang bertanding dengan 33 calon, tetapi ramai dalam kalangan mereka turut kehilangan deposit.

JOHOR BAHRU, — Sebanyak 55 calon hilang wang deposit masing-masing selepas gagal memperoleh undi sekurang-kurangnya satu perlapan daripada keseluruhan jumlah undi yang dikira pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16 semalam.

Perikatan Nasional (PN) yang mempertaruhkan 33 calon melibatkan 16 daripada Bersatu, 11 PAS, lima Parti Kemajuan India Malaysia (MIPP) dan seorang daripada Pejuang menjadi gabungan terbesar yang merekodkan calon kehilangan wang deposit, iaitu sebanyak 21 orang.

Paparan keputusan rasmi di laman sesawang Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menunjukkan PN bukan sahaja gagal melebarkan penguasaan, malah terpaksa melepaskan tiga kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dimenangi mereka pada PRN Johor 2022, iaitu Bukit Kepong, Maharani dan Endau.

Sementara itu, Parti Bersama Malaysia (Bersama) yang baru mewarnai kancah politik tanah air berdepan tamparan hebat apabila kesemua 15 calonnya hilang wang deposit.

Pakatan Harapan (PH) pula merekodkan sejumlah tujuh calon daripada gabungan itu yang kehilangan wang deposit.

Selain itu, kesemua enam calon Bebas, empat daripada Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA), serta dua calon tunggal yang masing-masing mewakili Parti Orang Asli Malaysia (ASLI)

dan Parti Sosialis Malaysia (PSM) turut hilang wang deposit mereka.

Dalam pada itu, calon dalam lingkungan umur 18 hingga 40 tahun mencatatkan jumlah hilang deposit tertinggi, iaitu sebanyak 41 peratus atau melibatkan 21 daripada keseluruhan 51 calon yang bertanding.

PRN Johor ke-16 menyaksikan Barisan Nasional (BN) memperoleh mandat untuk menerajui semula Kerajaan Negeri Johor selepas memenangi 48 daripada keseluruhan 56 kerusi DUN yang dipertandingkan.

Sementara itu, PH memperoleh lapan kerusi manakala calon PN, Bersama, MUDA, ASLI, PSM dan Bebas gagal memenangi sebarang kerusi.

— BERNAMA

Please follow and like us:
error20
fb-share-icon0
Tweet 20
fb-share-icon20

Author