Terkini
PRN Johor: 2.7 Juta pengundi pilih wakil rakyat hari ini
- Tepat 8 pagi,1,076 pusat mengundi membabitkan 4,889 saluran dibuka serentak bagi membolehkan rakyat negeri ini menentukan mandat baharu di 56 kawasan DUN selepas berakhirnya tempoh berkempen 14 hari, tengah malam tadi.
- Bagi memastikan proses pengundian berjalan lancar dan teratur, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menggerakkan 43,036 petugas di seluruh negeri, manakala 24,677 kertas undi pos yang telah dikeluarkan perlu diterima semula sebelum 6 petang ini.
- SPR menyasarkan peratusan keluar mengundi sekitar 70 peratus, dengan keputusan penuh dijangka dapat diketahui seawal 10 malam ini.
JOHOR BAHRU – Johor hari ini menjadi tumpuan seluruh negara apabila lebih 2.7 juta pemilih yang layak akan mengundi dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-16 bagi memilih wakil rakyat mereka.
Tepat 8 pagi, sebanyak 1,076 pusat mengundi membabitkan 4,889 saluran dibuka serentak bagi membolehkan rakyat negeri ini menentukan mandat baharu di 56 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) selepas berakhirnya tempoh berkempen 14 hari, tengah malam tadi.
Pusat-pusat mengundi berkenaan akan ditutup secara berperingkat bermula 11 pagi hingga 6 petang ini mengikut lokasi, sebelum proses pengiraan undi dimulakan.
Antara pusat mengundi yang dijadualkan ditutup awal ialah di Pulau Besar pada 11 pagi, diikuti Pulau Aur dan Pulau Pemanggil pada 12 tengah hari.
Bagi memastikan proses pengundian berjalan lancar dan teratur, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menggerakkan 43,036 petugas di seluruh negeri, manakala 24,677 kertas undi pos yang telah dikeluarkan perlu diterima semula sebelum 6 petang ini.
SPR menyasarkan peratusan keluar mengundi sekitar 70 peratus, dengan keputusan penuh dijangka dapat diketahui seawal 10 malam ini.
Peratusan keluar mengundi semasa PRN Johor ke-15 pada 2022 adalah sebanyak 54.92 peratus.
Dalam pada itu, majikan diingatkan supaya memberi tempoh yang munasabah kepada pekerja untuk keluar mengundi hari ini.
Pada Selasa lepas, sebanyak 20,607 pengundi awal terdiri daripada anggota polis dan tentera bersama pasangan selesai menunaikan tanggungjawab mengundi.
Berdasarkan laman web Jabatan Meteorologi Malaysia semalam, hujan diramalkan berlaku di daerah Johor Bahru, Batu Pahat, Kulai, Muar, Pontian dan Tangkak pada sebelah pagi, manakala cuaca dijangka baik pada sebelah petang dan malam.
Daerah Kluang, Kota Tinggi dan Segamat pula dijangka mengalami ribut petir pada sebelah petang, sementara keadaan sama diramalkan melanda Mersing bermula petang hingga ke malam.
PRN Johor kali ini menyaksikan persaingan 172 calon dengan Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) masing-masing mempertaruhkan 56 calon, diikuti Perikatan Nasional (PN) (33), Parti Bersama Malaysia (15), Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) (empat) serta Parti Orang Asli Malaysia dan Parti Sosialis Malaysia masing-masing satu calon, selain enam calon Bebas.
Sebelum pembubaran DUN pada 1 Jun lepas, BN menguasai 40 kerusi diikuti PH (12), PN (tiga), manakala MUDA satu kerusi.
Bagi mendapatkan berita terkini mengenai PRN Johor ke-16, layari https://prn.bernama.com/johor. – BERNAMA