Terkini
Skudai mahu wakil rakyat bekerja, Bukan hilang lima tahun
SKUDAI — Kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Skudai yang sekian lama dianggap antara kubu kuat Pakatan Harapan (PH), khususnya DAP, kini memperlihatkan sentimen pengundi yang semakin pelbagai menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.
Tinjauan The Merdeka Times bersama pengundi dan peniaga di sekitar Skudai mendapati sokongan terhadap DAP dan PH masih wujud, namun tidak lagi bersifat menyeluruh.
Sebaliknya, kebanyakan pengundi lebih memberi perhatian kepada isu kehidupan harian seperti banjir, lesen perniagaan, peluang pekerjaan, kesesakan lalu lintas dan kehadiran wakil rakyat selepas pilihan raya.
Skudai dimenangi PH menerusi Marina Ibrahim pada PRN Johor 2022 dengan 26,359 undi, menewaskan calon Barisan Nasional (BN), Lim Soon Hai yang memperoleh 12,416 undi dan calon Perikatan Nasional (PN), Khoo Keng Ek dengan 6,258 undi.
Bagaimanapun, Marina tidak mempertahankan kerusi itu selepas mengumumkan pengundurannya daripada arena politik.
Antara rungutan paling kerap dibangkitkan ialah masalah banjir, longkang tersumbat, kesesakan jalan raya serta peluang ekonomi yang menurut penduduk masih belum ditangani sepenuhnya.
Seorang pemilik bengkel berusia lingkungan 40-an berkata isu banjir dan sistem perparitan perlu diberikan keutamaan.
“Kalau boleh mahu rakyat senang. Mahu maju sikit. Yang penting ini longkang sumbat semua mahu kasi korek. Ini banjir banyak kuat,” jelas beliau.
Beliau turut berpendapat pengundi tidak seharusnya teragak-agak menukar wakil rakyat sekiranya gagal menjalankan tanggungjawab.
“Kalau kerja takde betul, kasi ubahlah. Tukar orang lain yang rajin. Tapi DAP tak ada kerja, dia tengok-tengok saja takde buat.” tegasnya.
Namun, tidak semua pengundi berkongsi pandangan tersebut. Seorang tauke kedai yang telah menetap lebih 30 tahun di Skudai berkata beliau masih berpuas hati dengan prestasi wakil rakyat sedia ada.
“Okaylah, berpuas hati,” katanya ringkas.
Selain isu banjir, ramai peniaga kecil membangkitkan kesukaran mendapatkan lesen perniagaan.
Seorang peniaga bengkel berusia lingkungan 60-an mendakwa sudah hampir setahun menunggu kelulusan lesen, namun masih perlu menjelaskan bayaran kepada pihak berkuasa tempatan.
Beliau berharap wakil rakyat baharu mampu menyelesaikan isu yang menjejaskan kelangsungan perniagaan kecil.
“Kita meniaga kecil punya, kita cari makan saja. Peniaga kalau minta lesen, kasi lesen. Ini tahun dia kata lesen sudah tak dapat. Sekarang sudah stop. Renew, sampai sekarang, tunggu, tunggu, tunggu. Sudah satu tahun, itu tengah (tempoh menunggu) punya bulan kita lagi mau bayar.” luah beliau.
Antara pandangan paling mencuri perhatian datang daripada seorang pekerja berusia lingkungan 30-an yang menetap di Jalan Tun Aminah.
Beliau mengakui semakin sukar meletakkan harapan kepada ahli politik kerana merasakan kebanyakan wakil rakyat hanya muncul ketika musim pilihan raya.
“Tak boleh haraplah semua. Semua tak boleh harap. Masa undi dia keluar, lima tahun sudah senyap. Tak ada jumpa orang,” jelas beliau dengan penuh kekesalan.
Sentimen hampir sama turut disuarakan seorang peniaga buah Melayu yang membangkitkan isu bangunan terbengkalai Skudai Plaza yang menurutnya masih gagal diselesaikan selepas puluhan tahun.
Beliau berkata wakil rakyat lazimnya lebih kelihatan ketika musim pilihan raya.
“Yang wakil-wakil jelah untuk sekali je. Kira nak mengundi ada. Bila tak mengundi, terbengkalai macam ini 30 tahun pun tak nampak apa. Mengundi, semua nampak. Bila tak mengundi lima tahun sekali saja datang,” luah beliau.
Penduduk Melayu di kawasan yang sering dilanda banjir pula berharap siapa sahaja yang dipilih nanti memberi perhatian segera terhadap masalah perparitan.
Menurut mereka, isu asas penduduk perlu menjadi keutamaan tanpa mengira parti yang memerintah.
“Tak kiralah siapa pegang kawasan ini. Kami harap dia turun padang dan selesaikan masalah rakyat,” jelasnya.
Dalam kalangan pengundi Cina pula, terdapat juga suara yang secara terbuka mahu memberi peluang kepada BN selepas sebelum ini menyokong DAP.
“Dulu pilih DAP, tahun ini tukar Barisan Nasional,” seloroh beliau.
Bagaimanapun, apabila ditanya sebab perubahan itu, beliau hanya menjawab ringkas:
“Tiada sebab,” jawab ringkas beliau.
Pada masa sama, terdapat juga pengundi yang menegaskan mereka lebih melihat kepada kemampuan individu berbanding parti politik.
“Kita sekarang ya kita pilih bukan parti tahu, kita pilih itu orang. Dia kerja, tak mau kencing” katanya.
Dapatan temu bual menunjukkan Skudai bukan lagi sekadar gelanggang yang ditentukan oleh kekuatan jenama parti.
Sebaliknya, pengundi semakin menilai prestasi wakil rakyat berdasarkan keupayaan menyelesaikan masalah harian seperti banjir, lesen perniagaan, peluang pekerjaan, trafik dan pembangunan setempat.
Ketiadaan Marina sebagai penyandang turut mewujudkan cabaran baharu kepada PH dan DAP untuk mengekalkan sokongan tradisi, khususnya dalam kalangan pengundi yang mahukan wakil rakyat lebih kerap turun padang dan menyelesaikan isu asas penduduk.
Dalam masa sama, keterbukaan sebahagian pengundi untuk mempertimbangkan perubahan memberi ruang kepada BN menawarkan naratif baharu.
Namun, samada sentimen itu mampu diterjemahkan kepada undi, akhirnya bergantung kepada keyakinan pengundi bahawa calon yang dipilih benar-benar mampu menyelesaikan masalah yang telah lama membelenggu Skudai.-The Merdeka Times