Terkini
‘Garilah saya selagi anda masih berkuasa’ – Haim Hilman
- ADUN Jitra, Haim Hilman Abdullah menegaskan beliau tidak gentar berdepan tindakan undang-undang dan akan terus bersuara memperjuangkan hak anak-anak Malaysia, khususnya daripada keluarga B40 dan M40, untuk mendapat peluang pendidikan tinggi yang adil.
- “Sila lakukan apa sahaja termasuk menangkap saya selagi masih berkuasa. Pergi ke mahkamah jauh lebih ringan daripada melihat ribuan anak miskin terus dinafikan peluang ke universiti awam. Saya akan terus bersuara sehingga hak mereka dikembalikan,” katanya.
- Haim Hilman Abdullah mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Seremban pada Khamis atas pertuduhan menimbulkan kebimbangan orang awam berhubung kenyataannya kononnya universiti awam menjual tempat kepada golongan tertentu.
SEREMBAN – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jitra, Haim Hilman Abdullah menegaskan beliau tidak gentar berdepan tindakan undang-undang dan akan terus bersuara memperjuangkan hak anak-anak Malaysia, khususnya daripada keluarga B40 dan M40, untuk mendapat peluang pendidikan tinggi yang adil.
“Sila lakukan apa sahaja termasuk menangkap saya selagi masih berkuasa. Pergi ke mahkamah jauh lebih ringan daripada melihat ribuan anak miskin terus dinafikan peluang ke universiti awam. Saya akan terus bersuara sehingga hak mereka dikembalikan,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook hari ini.
Haim, 53, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini pada Khamis atas pertuduhan menimbulkan kebimbangan orang awam berhubung kenyataannya kononnya universiti awam menjual tempat kepada golongan tertentu.
Beliau yang juga Exco Industri dan Pelaburan, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Inovasi Kedah sebagai Orang Kena Saman (OKS) membuat pengakuan itu di hadapan Majistret Nurul Saqinah Rosli selepas pertuduhan dibacakan.
Haim berkata, beliau akan memberikan kerjasama penuh sepanjang proses perundangan dengan mengemukakan fakta, data serta dokumen berkaitan melalui saluran mahkamah.
Menurutnya, isu yang dibangkitkan bukan untuk kepentingan peribadi, sebaliknya demi memastikan anak-anak Malaysia mendapat peluang pendidikan tinggi yang adil.
“Saya menegaskan bahawa isu ini mempunyai asas yang kukuh dan dinilai secara munasabah berdasarkan fakta, data dan prinsip keadilan,” katanya.
Beliau turut memaklumkan mahkamah membenarkannya diikat jamin sebanyak RM5,000 tanpa syarat tambahan, termasuk tiada sekatan perjalanan dan tiada perintah larangan bersuara.
Katanya, sebutan semula kes ditetapkan pada 30 Julai 2026 bagi tujuan penyerahan dokumen.
Dalam kenyataan sama, Haim berkata pertuduhan yang dikenakan terhadapnya sebenarnya membuka ruang untuk beliau membangkitkan lebih banyak isu kritikal di sebalik sistem pendidikan tinggi negara.
Beliau berkata, hasil penelitian terhadap laporan tahunan hampir 20 universiti awam dari tahun 2018 hingga kini akan dijadikan asas untuk terus membangkitkan pelbagai isu bagi memastikan sistem pendidikan tinggi negara benar-benar berkualiti, adil dan mengutamakan kepentingan rakyat.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada pasukan peguam yang mewakilinya, selain mengucapkan terima kasih kepada rakan-rakan dari seluruh negara serta pengguna media sosial yang hadir dan memberikan sokongan terhadapnya. – The Merdeka Times