Connect with us

Terkini

GEG digugurkan, Nikotin dilonggarkan: Kini vape jadi medium dadah

Published

on

  • Ketika kerajaan, ahli politik dan pelbagai pihak terus berdebat mengenai peraturan vape, satu hakikat yang semakin sukar dinafikan kini muncul di hadapan mata.
  • Vape bukan lagi sekadar isu nikotin. Ia kini menjadi medium penyalahgunaan dadah sintetik.
  • Pendedahan Ketua Pengarah Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), Datuk Ruslin Jusoh bahawa syabu dan fentanil kini ditemui dalam bentuk katrij vape sepatutnya menjadi loceng kecemasan kepada seluruh negara.
  • Lebih membimbangkan, 73 peratus pengguna dadah yang dikenal pasti AADK adalah pengguna dadah sintetik dan 81 peratus daripada mereka terdiri daripada golongan belia.
  • Persoalannya, bagaimana Malaysia sampai ke tahap ini?
  • Jawapannya mungkin bermula apabila negara gagal membuat keputusan tegas ketika peluang itu masih ada.
  • Kita masih ingat bagaimanakandungan nikotin cecair vape dikeluarkan daripada senarai bahan terkawal di bawah Akta Racun pada tahun 2023.
  • Langkah itu membuka ruang kepada penjualan produk vape secara lebih meluas ketika negara masih belum mempunyai kerangka kawal selia yang benar-benar mantap.
  • Pada masa yang sama,Generational End Game (GEG) yang bertujuan melindungi generasi muda daripada ketagihan produk merokok dan vape akhirnya digugurkan daripada rang undang-undang berkaitan.
  • Ketika itu, alasan yang diberikan adalah soal kebolehkuatkuasaan, cabaran perundangan dan kebebasan individu.
  • Hari ini, persoalan yang perlu ditanya ialah:
  • Adakah negara telah membayar harga yang terlalu mahal akibat kegagalan membuat keputusan yang lebih berani ketika itu?
  • Sudah tentu tidak semua pengguna vape mengambil dadah. Sudah tentu tidak semua peniaga vape terlibat dengan aktiviti jenayah.
  • Namun apabila sesuatu produk menjadi begitu meluas, mudah diperoleh dan diterima secara sosial, ruang untuk disalahgunakan juga menjadi semakin besar.
  • Apa yang sedang berlaku hari ini bukan lagi sekadar perdebatan antara hak individu dengan kesihatan awam.
  • Ia sudah memasuki dimensi keselamatan negara.
  • Fentanil misalnya bukan bahan biasa. Di Amerika Syarikat,krisis fentanil telah meragut puluhan ribu nyawa setiap tahun dan menjadi antara cabaran kesihatan awam terbesar negara itu.
  • Apabila bahan seperti ini mula ditemui dalam ekosistem vape tempatan, persoalannya bukan lagi sama ada vape perlu dikawal.
  • Persoalannya ialah sama ada kerajaan telah bertindak terlalu lambat.
  • Lebih membimbangkan, industri vape selama ini sering dipasarkan sebagai alternatif yang lebih selamat berbanding rokok konvensional. Tetapi apabila peranti yang sama kini menjadi medium penghantaran dadah sintetik, naratif tersebut semakin sukar dipertahankan.
  • Negara tidak boleh terus berpura-pura bahawa masalah ini hanya melibatkan segelintir individu. Apa yang sedang berlaku ialah pembentukan satu budaya baharu yang menormalisasikan penggunaan vape dalam kalangan remaja dan belia. Apabila budaya itu sudah terbentuk, sindiket dadah hanya perlu mencari jalan untuk menumpang di atas platform yang sudah tersedia.
  • Maka persoalan terbesar hari ini bukan lagi sama ada vape berbahaya atau tidak.
  • Persoalan sebenarnya ialah:
  • Siapa yang harus bertanggungjawab apabila amaran demi amaran telah diberikan, tetapi tindakan tegas terus ditangguhkan?
  • Jika generasi muda akhirnya menjadi mangsa ketagihan nikotin, dadah sintetik dan budaya vape yang semakin sukar dikawal, sejarah akan mencatat bahawa masalah ini bukan berlaku kerana kita tidak tahu risikonya.
  • Masalah ini berlaku kerana kita tahu, tetapi memilih untuk tidak bertindak secukupnya ketika peluang itu masih ada.-The Merdeka Times
Please follow and like us:
error20
fb-share-icon0
Tweet 20
fb-share-icon20

Author