Connect with us

Terkini

‘Biasanya negeri minta dana, Kali ini saya terima RM1.8 Bilion’ – Anwar

Published

on

Foto: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
  • “Saya belum pernah ke negeri dan menerima cek. Biasanya semua mohon dana daripada Kementerian Kewangan. Tetapi hari ini di Bintulu, saya menerima cek RM1.8 bilion,” katanya ketika berucap pada sambutan Hari Gawai di Bintulu, Sarawak.
  • Beliau berkata demikian merujuk kepada pampasan RM1.8 bilion yang dibayar Kerajaan Sarawak kepada Kerajaan Persekutuan bagi mengambil alih Pelabuhan Bintulu, sebuah aset strategik negara yang sebelum ini berada di bawah bidang kuasa persekutuan.

BINTULU– Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mendedahkan beliau buat pertama kali menerima cek bernilai RM1.8 bilion daripada sebuah kerajaan negeri, sambil memuji keupayaan kewangan serta tadbir urus Sarawak yang membolehkannya mengambil alih Pelabuhan Bintulu daripada Kerajaan Persekutuan.

Menurut Anwar, sepanjang pengalaman beliau memegang jawatan Menteri Kewangan sebelum ini dan pada masa kini, kebiasaannya kerajaan negeri akan mengemukakan pelbagai permohonan peruntukan kepada Kerajaan Persekutuan, namun situasi yang berlaku di Sarawak adalah sebaliknya.

“Saya belum pernah ke negeri dan menerima cek. Biasanya semua mohon dana daripada Kementerian Kewangan. Tetapi hari ini di Bintulu, saya menerima cek RM1.8 bilion,” katanya ketika berucap pada sambutan Hari Gawai di Bintulu, Sarawak.

Beliau berkata demikian merujuk kepada pampasan RM1.8 bilion yang dibayar Kerajaan Sarawak kepada Kerajaan Persekutuan bagi mengambil alih Pelabuhan Bintulu, sebuah aset strategik negara yang sebelum ini berada di bawah bidang kuasa persekutuan.

Anwar turut berseloroh bahawa beliau sendiri meminta untuk melihat cek tersebut kerana mahu memastikan ia benar-benar wujud dan bukan sekadar simbolik.

“Saya Menteri Kewangan. Saya tidak mahu sekadar lihat pelekat atau replika. Saya mahu tengok cek itu sendiri dan memang ada dalam simpanan mereka,” katanya.

Menurut beliau, terdapat pihak tertentu khususnya pengkritik di Semenanjung yang mungkin tidak memahami sepenuhnya kepentingan perjanjian berkenaan serta implikasinya terhadap hubungan Persekutuan-Sarawak.

Katanya, pengambilalihan Pelabuhan Bintulu bukan lagi perkara yang wajar dipertikaikan kerana ia telah dipersetujui melalui rundingan yang mengambil kira hak, kepentingan dan aset yang terlibat.

Perdana Menteri turut mengakui beliau berasa teruja dengan perkembangan tersebut kerana tidak pernah menyaksikan sebuah kerajaan negeri mampu membayar jumlah sebesar itu bagi mengambil alih aset strategik.

“Saya rasa macam mimpi Gawai. Tak pernah berlaku sebelum ini. Sebab itu saya ada keterujaan yang luar biasa,” katanya.

Mengulas lanjut, Anwar berkata kejayaan tersebut membuktikan bahawa pengurusan ekonomi yang baik, tadbir urus berkesan serta kepimpinan yang kompeten mampu menghasilkan kedudukan kewangan yang kukuh.

Sehubungan itu, beliau merakamkan penghargaan kepada Premier Sarawak, Abang Johari Openg dan pasukan pentadbiran negeri atas kejayaan mereka membangunkan ekonomi Sarawak sehingga mampu mengambil alih aset bernilai berbilion ringgit.

“Jika negara atau negeri diurus dengan baik, memahami prinsip tadbir urus dan dipimpin oleh pemimpin yang bertanggungjawab serta berwibawa, hasilnya dapat dilihat. Saya tabik kepada Abang Johari dan pasukannya kerana berjaya melaksanakannya,” katanya. -The Merdeka Times

Please follow and like us:
error20
fb-share-icon0
Tweet 20
fb-share-icon20

Author