Terkini
‘Jika agama lain boleh sebar ajaran, mengapa hak Islam dipersoalkan?’ – Firdaus Wong
- Pendakwah, Firdaus Wong mempersoalkan kritikan terhadap aktiviti penyebaran agama Islam di institusi pendidikan awam dengan menegaskan bahawa hak tersebut turut dilindungi di bawah Perlembagaan Persekutuan.
- Menurut Firdaus, beliau tidak mempunyai sebarang masalah dengan aktiviti yang dijalankan oleh pertubuhan Kristian untuk menyebarkan agama mereka kepada golongan bukan Islam kerana hak itu termaktub dalam Perlembagaan.
- “Sebagaimana agama lain ada hak untuk amal dan sebarkan agama mereka kerana termaktub dalam Perlembagaan, agama Islam juga diiktiraf sebagai Agama Persekutuan dan agama Islam boleh diamalkan dan disebarkan kepada sesiapa,” katanya.
KUALA LUMPUR – Pendakwah, Firdaus Wong mempersoalkan kritikan terhadap aktiviti penyebaran agama Islam di institusi pendidikan awam dengan menegaskan bahawa hak tersebut turut dilindungi di bawah Perlembagaan Persekutuan.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas pandangan yang menyatakan penyebaran agama Islam perlu dilakukan secara beretika dan tidak wajar melibatkan institusi pendidikan awam.
Menurut Firdaus, beliau tidak mempunyai sebarang masalah dengan aktiviti yang dijalankan oleh pertubuhan Kristian untuk menyebarkan agama mereka kepada golongan bukan Islam kerana hak tersebut termaktub dalam Perlembagaan.
“Apa yang pertubuhan Kristian buat ini beretika tak?
“Saya sebagai Muslim tiada masalah pertubuhan Kristian buat aktiviti ini kerana ini hak mereka untuk menyebarkan agama mereka kepada orang lain selain Muslim yang telah termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan,” katanya dalam hantaran Facebook.
Beliau menegaskan bahawa sebagaimana agama lain mempunyai hak untuk mengamalkan dan menyebarkan ajaran masing-masing, agama Islam juga mempunyai hak yang sama.
“Sebagaimana agama lain ada hak untuk amal dan sebarkan agama mereka kerana termaktub dalam Perlembagaan, agama Islam juga diiktiraf sebagai Agama Persekutuan dan agama Islam boleh diamalkan dan disebarkan kepada sesiapa,” katanya.
Firdaus turut mempersoalkan mengapa hak umat Islam untuk melaksanakan dakwah menjadi pertikaian sedangkan hak agama lain untuk menyebarkan ajaran mereka sering dipertahankan atas dasar Perlembagaan.
“Si Lingesh dan mereka-mereka itu nak Muslim hormat hak mereka kerana termaktub dalam Perlembagaan dan Muslim akan dilabel macam-macam kalau mempersoalkannya, yang kalian menyibuk dengan hak Muslim yang termaktub dalam Perlembagaan itu dah kenapa?” katanya.
Beliau berpandangan bahawa semua pihak seharusnya menghormati hak yang diperuntukkan oleh Perlembagaan tanpa mengamalkan standard yang berbeza terhadap mana-mana agama.
Firdaus turut menggesa pihak yang membangkitkan isu tersebut supaya memberi tumpuan kepada perkara lain daripada mempertikaikan hak umat Islam untuk melaksanakan dakwah yang menurutnya turut dijamin oleh Perlembagaan. – The Merdeka