Terkini
Dua lelaki didenda RM1,500 cederakan warga asing di kedai runcit
- Majistret, Nur Athirah Hashim menjatuhkan hukuman itu terhadap Muhammad Adi Putera Razali, 23, dan Tengku Muhammad Adam Ikhram Tengku Mohd Faizullah, 21, dan mengarahkan mereka menjalani hukuman penjara dua bulan jika gagal membayar denda.
- Kedua-dua lelaki itu, didakwa bersama-sama dengan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap Mohammad Kamrul Islam di sebuah kedai runcit di Kampung Mak Kemas, Marang pada 7.15 petang, 9 Jun lepas.
- Pada 10 Jun, media melaporkan dua lelaki tempatan direman tujuh hari bagi membantu siasatan kes pukul seorang warga asing dan merosakkan harta benda di sebuah kedai runcit.
MARANG – Dua lelaki masing-masing didenda RM1,500 oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini selepas mengaku bersalah atas pertuduhan dengan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap seorang lelaki warga asing, di sebuah kedai runcit minggu lepas.
Majistret, Nur Athirah Hashim menjatuhkan hukuman itu terhadap Muhammad Adi Putera Razali, 23, dan Tengku Muhammad Adam Ikhram Tengku Mohd Faizullah, 21, dan mengarahkan mereka menjalani hukuman penjara dua bulan jika gagal membayar denda.
Kedua-dua lelaki itu, didakwa bersama-sama dengan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap Mohammad Kamrul Islam di sebuah kedai runcit di Kampung Mak Kemas, Marang pada 7.15 petang, 9 Jun lepas.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum setahun atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya sekali.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Maisarah Abd Razak manakala kedua-dua tertuduh diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) Shameer Haziq Shaharuddin.
Pada 10 Jun, Bernama melaporkan dua lelaki tempatan direman tujuh hari bagi membantu siasatan kes pukul seorang warga asing dan merosakkan harta benda di sebuah kedai runcit.
Sebelum ini tular sebuah video di media sosial memaparkan pertengkaran sekumpulan lelaki dengan warga asing sehingga menyebabkan barangan di kedai tersebut rosak dan berselerakan. – BERNAMA