Connect with us

Terkini

Akta Antibuli 2026 letak tanggungjawab bersama kepada ibu bapa – Azalina

Published

on

Foto: Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said.
  • Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata peruntukan itu antara pembaharuan utama dalam akta itu yang memperluas tanggungjawab terhadap salah laku buli melangkaui pelaku kepada ahli keluarga.
  • Beliau berkata pendekatan itu berbeza daripada kebanyakan kesalahan jenayah yang lazimnya hanya melibatkan pelaku, sebaliknya Akta Antibuli memperuntukkan elemen tanggungjawab bersama yang boleh mengikat keluarga, termasuk berkaitan pembayaran denda yang dikenakan.
  • “Kalau melihat kepada akta ini, kita meletakkan klausa untuk tanggungjawab (ibu bapa). Jadi isu pembayaran denda dan sebagainya juga akan mengikat pada keluarga. Kita pindahkan liabiliti atau mengenakan tanggungan liabiliti kepada keluarga,” katanya.

KUALA LUMPUR – Ibu bapa kini boleh turut dikenakan liabiliti undang-undang sekiranya anak mereka didapati bersalah melakukan perbuatan buli apabila Akta Antibuli 2026 memperkenalkan konsep tanggungjawab bersama terhadap keluarga.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata peruntukan itu antara pembaharuan utama dalam akta berkenaan yang memperluas tanggungjawab terhadap salah laku buli melangkaui pelaku kepada ahli keluarga. 

Beliau berkata pendekatan itu berbeza daripada kebanyakan kesalahan jenayah yang lazimnya hanya melibatkan pelaku, sebaliknya Akta Antibuli memperuntukkan elemen tanggungjawab bersama yang boleh mengikat keluarga, termasuk berkaitan pembayaran denda yang dikenakan.

“Kalau melihat kepada akta ini, kita meletakkan klausa untuk tanggungjawab (ibu bapa). Jadi isu pembayaran denda dan sebagainya juga akan mengikat pada keluarga. Kita pindahkan liabiliti atau mengenakan tanggungan liabiliti kepada keluarga,” katanya.

Beliau berkata kepada pemberita selepas melancarkan ibu pejabat Tribunal Antibuli di Pusat Timbang Tara Antarabangsa Asia (AIAC) di sini hari ini yang turut dihadiri Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA) Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki. 

Azalina berkata penubuhan tribunal berkenaan didorong oleh peningkatan kes buli yang membimbangkan serta impaknya yang serius, termasuk kes yang mengakibatkan kehilangan nyawa.

“Kita mahu memberikan kesedaran kepada anak-anak mengenai keseriusan sifat buli yang akan diambil tindakan melalui saluran ini. Jadi mereka tidak boleh menganggap isu buli sebagai suatu perkara yang remeh-temeh,” katanya.

Sebanyak 56 anggota tribunal terdiri daripada pakar perundangan dan pakar dalam bidang berkaitan kanak-kanak telah dilantik bagi mengendalikan kes-kes yang dirujuk. 

Menurut Azalina, ibu pejabat tribunal itu akan beroperasi di AIAC, namun prosiding boleh dijalankan di seluruh negara termasuk di sekolah, pejabat Jabatan Bantuan Guaman atau secara dalam talian. 

Bagi memperluas akses kepada keadilan, enam zon perbicaraan fizikal dan dalam talian disediakan di seluruh negara dengan mengoptimumkan kemudahan sedia ada di bawah Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU), Jabatan Insolvensi, Biro Bantuan Guaman serta dewan mahkamah yang tidak digunakan.

Beliau berkata mangsa juga mempunyai hak untuk membawa kes terus ke Tribunal Antibuli sekiranya kejadian berlaku di luar kawasan sekolah atau asrama tanpa perlu melalui pihak pengurusan institusi berkenaan. 

Bagi memudahkan orang ramai mengemukakan aduan, tribunal itu turut menyediakan portal awam yang boleh diakses untuk pendaftaran kes secara dalam talian melalui https://tab.bheuu.gov.my/ . – BERNAMA

Please follow and like us:
error20
fb-share-icon0
Tweet 20
fb-share-icon20

Author