Terkini
Israel mungkin sasar Turkiye, Mesir selepas Iran
- Bekas pengintip Israel-Amerika, Jonathan Pollard, yang bercakap dalam satu program audio siar (podcast) terbitan agensi berita Arutz Sheva turut bersetuju bahawa ‘ribut akan melanda Asia Barat’.
- Pollard berkata bahawa Israel perlu bersedia untuk menghadapi peperangan yang selanjutnya di Asia Barat selepas Iran.
- Beliau juga memberi amaran agar Israel tidak membiarkan kerajaan peralihan di Syria yang disokong Turkiye untuk menawan semula kawasan-kawasan di selatan yang kini diduduki tentera Israel.
TEL AVIV – Israel berkemungkinan akan menjadikan Mesir dan Turkiye sebagai sasaran perang mereka yang seterusnya.
Bekas pengintip Israel-Amerika, Jonathan Pollard, yang bercakap dalam satu program audio siar (podcast) terbitan agensi berita Arutz Sheva turut bersetuju bahawa ‘ribut akan melanda Asia Barat’.
Pollard berkata bahawa Israel perlu bersedia untuk menghadapi peperangan yang selanjutnya di Asia Barat selepas Iran.
Beliau juga memberi amaran agar Israel tidak membiarkan kerajaan peralihan di Syria yang disokong Turkiye untuk menawan semula kawasan-kawasan di selatan yang kini diduduki oleh tentera Israel.
Menurutnya, ia secara tidak langsung akan menyebabkan mereka berhadapan dengan situasi ‘pihak Turki berada di sempadan kita’.
“Kita mesti bersedia untuk menghadapi peperangan seterusnya, yang berkemungkinan besar adalah menentang Turkiye dan Mesir. Kita tidak berfikir dari sudut geostrategik. Lupakan tentang Ahmad al-Sharaa (Jolani). Lupakan tentang Donald Trump.
“Secara prinsipnya, saya terlebih dahulu bimbang terhadap kebajikan saudara Druze kita di seberang sempadan, namun perkara kedua yang membimbangkan adalah sekiranya Jolani dan kumpulan Islamisnya benar-benar menduduki semula kawasan tersebut,” katanya.
Pandangan itu turut disokong pengacara audio siar berkenaan, Martin Buksdorf, yang menjangkakan penguasaan semula wilayah tersebut oleh kumpulan terbabit ‘hanya menunggu masa’.
Pollard turut melahirkan kebimbangan bahawa berhadapan dengan Ankara tidak akan semudah mendepani Tehran.
Beliau menjelaskan, penilaian tersebut bersandarkan kepada penelitian serta analisis mendalam yang dilakukannya terhadap doktrin ketenteraan Turkiye. – The Merdeka Times