Terkini
RUU Suruhanjaya bebas aduan, salah laku polis perlu dibawa segera ke Parlimen
Perikatan Demokratik Malaysia Bersatu (MUDA) mendesak kerajaan campuran hari ini untuk membentangkan Rang Undang-Undang (RUU) Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC) 2019 pada sidang Dewan Rakyat yang akan bermula Februari depan.
- Berikutan kes rogol pegawai berpangkat inspektor di IPD Alor Setar, Kedah, MUDA mengeluarkan kenyataan menggesa RUU Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC) dibentang ke Parlimen.
- Kementerian Dalam Negeri dan Kementerian Undang-Undang dan Reformasi juga digesa untuk mengambil tindakan sewajarnya terhadap anggota polis berkenaan.
- Presiden MUDA, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata, RUU IPCMC bukan bertujuan untuk mendakwa dan menghukum pihak berkuasa semata-mata.
- “KDN harus mencontohi langkah proaktif yang diambil oleh KKM dengan melengkapi anggota-anggota ini dengan pemakaian kamera badan,” katanya.
KUALA LUMPUR – Perikatan Demokratik Malaysia Bersatu (MUDA) mendesak kerajaan campuran hari ini untuk membentangkan Rang Undang-Undang (RUU) Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC) 2019 pada sidang Dewan Rakyat yang akan bermula Februari depan.
Presidennya, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman juga menggesa Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan juga Kementerian Undang-Undang dan Reformasi untuk mengambil tindakan sewajarnya terhadap anggota polis berpangkat Inspektor berhubung dakwaan kes rogol seorang remaja perempuan yang berusia 16 tahun.
Menurutnya, RUU IPCMC bukan hanya bertujuan untuk melakukan pertuduhan dan menghukum pihak berkuasa semata-mata.
“Penubuhan badan yang lebih bebas, adil dan telus di bawah RUU IPCMC ini akan bantu mengembalikan dan meningkatkan keyakinan rakyat terhadap pasukan polis.
“KDN harus mencontohi langkah proaktif yang diambil oleh Kementerian Kesihatan (KKM) dalam memastikan ketulusan pegawai penguatkuasa kesihatan serta menjaga kebajikan mereka dengan melengkapi anggota-anggota ini dengan pemakaian kamera badan.
“Aduan-aduan yang melibatkan kepentingan orang awam tidak boleh dibiarkan sunyi sepi tanpa khabar berita dan tiada tindakan yang diambil,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Katanya, IPCMC harus dibentangkan semula di dalam Dewan Rakyat untuk penelitian lanjut daripada semua Ahli-Ahli Parlimen agar kejadian seperti ini tidak berulang lagi.
Minggu lalu, seorang remaja perempuan berumur 16 tahun dilaporkan membuat laporan polis selepas mendakwa menjadi mangsa rogol pegawai berpangkat inspektor ketika berada di sebuah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD), Alor Setar, Kedah, pada minggu lalu.
Pada mulanya, mangsa dipanggil bagi membantu siasatan berhubung laporan kes rogol oleh bapa tiri terhadapnya, namun dirogol anggota berkenaan pula ketika berada dalam bilik pejabat pegawai terbabit di IPD berkenaan kira-kira jam 6.30 petang. – The Merdeka Times