Antarabangsa
Berjaya cetuskan kebencian Islam, sami anti-Muslim terima anugerah daripada Junta Myanmar
Pelampau sami Buddha yang pernah digelar ‘Buddha Bin Laden’ dahulu menerima penghargaan junta tentera Myanmar kerana berjaya mencetuskan kebencian terhadap umat Islam.
- Junta Myanmar memberi penganugerahan kepada sami anti-Muslim, Ashin Wirathu kerana berjaya mencetuskan kebencian terhadap umat Islam.
- Dia terkenal dengan retorik anti-Islam khususnya terhadap etnik Rohingya.
- Wirathu turut menggesa agar memboikot perniagaan milik Muslim dan juga melarang perkahwinan antara penganut Buddha dan Islam.
- Wirathu sebelum ini dipenjarakan semasa pentadbiran Aung San Suu Kyi atas tuduhan menghasut.
- Bagaimanapun September tahun lalu, selepas Suu Kyi digulingkan dalam rampasan kuasa 1 Februari, junta Myanmar membebaskan Wirathu selepas semua dakwaan ke atasnya digugurkan.
YANGON – Pelampau sami Buddha yang pernah digelar ‘Buddha Bin Laden’ dahulu menerima penghargaan junta tentera Myanmar kerana berjaya mencetuskan kebencian terhadap umat Islam.
Ashin Wirathu terkenal dengan retorik anti-Islam khususnya terhadap etnik Rohingya selain turut menggesa agar memboikot perniagaan milik Muslim dan melarang perkahwinan antara penganut Buddha dan Islam.
Anugerah kebangsaan ‘Thiri Pyanchi’ diberikan kepada Wirathu pada Selasa sewaktu sambutan Hari Kemerdekaan ke-75 oleh Ketua junta Myanmar, Min Aung Hlaing.
Aung Hlaing juga menyelar negara yang campur tangan dalam hal ehwal negaranya.
“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada beberapa negara antarabangsa dan serantau serta organisasi dan individu yang secara positif bekerjasama dengan kami… di tengah-tengah tekanan, kritikan dan serangan,” katanya seperti dipetik Al Jazeera.
Pada 2013, wajah Wirathu muncul di muka hadapan Time Magazine yang bertajuk “The Face of Buddhist Terror” berhubung rusuhan yang menyebabkan ramai orang terkorban.
Kumpulan hak asasi manusia berkata insiden itu mencetuskan permusuhan dalam kalangan masyarakat dan menjadi punca tindakan keras tentera terhadap Muslim Rohingya pada 2017, memaksa kira-kira 740,000 orang melarikan diri atau keluar ke Bangladesh.
Wirathu kemudiannya dipenjarakan semasa pentadbiran Aung San Suu Kyi atas tuduhan menghasut.
Bagaimanapun, pada September tahun lalu, selepas Suu Kyi digulingkan dalam rampasan kuasa pada 1 Februari, junta Myanmar membebaskan Wirathu selepas semua dakwaan ke atasnya digugurkan.
Sumber: Al Jazeera