Terkini
Video sami Hindu buat ritual simbah susu panas pada kanak-kanak tular
- Kebimbangan orang ramai memuncak apabila terdapat dakwaan yang mengatakan susu yang digunakan dalam ritual tersebut adalah panas atau mendidih.
- Visual kanak-kanak yang menangis teresak-esak menguatkan lagi kebimbangan tersebut dalam kalangan pengguna media sosial.
NEW DELHI – Satu rakaman video yang memaparkan seorang sami Hindu menyimbah susu panas ke atas dua kanak-kanak kecil dalam satu upacara ritual telah tular di media sosial, sekali gus mencetuskan perdebatan hangat mengenai keselamatan kanak-kanak dan amalan tradisi.
Video berkenaan menunjukkan seorang lelaki memegang bekas berisi susu panas sebelum menuangkannya ke atas dua kanak-kanak yang duduk di hadapannya.
Kanak-kanak tersebut dilihat menangis dan menunjukkan reaksi tidak selesa sepanjang ritual itu berlangsung, yang kemudiannya membawa kepada pelbagai reaksi netizen yang bimbang akan keselamatan mereka.
Kebimbangan orang ramai memuncak apabila terdapat dakwaan yang mengatakan susu yang digunakan dalam ritual tersebut adalah panas atau mendidih.
Visual kanak-kanak yang menangis teresak-esak menguatkan lagi kebimbangan tersebut dalam kalangan pengguna media sosial.
Bagaimanapun, analisis daripada alat kecerdasan buatan (AI), Grok, menafikan dakwaan tersebut dengan menyatakan bahawa susu itu tidak mendidih.
Menurut analisis visual, tiada wap dikesan keluar daripada cecair tersebut dan kanak-kanak berkenaan tidak menunjukkan tanda-tanda melecur atau kecederaan fizikal yang serius.
Upacara itu dipercayai merupakan sebahagian daripada ritual Hindu, berkemungkinan besar adalah Milk Abhishekam atau upacara pemberkatan yang biasa diamalkan dalam komuniti tertentu, khususnya di Uttar Pradesh.
Dalam tradisi tersebut, susu pada suhu bilik disimbah ke atas kanak-kanak sebagai simbol perlindungan kerohanian dan kesejahteraan.
Asap yang kelihatan di latar belakang video pula dikatakan berpunca daripada colok atau api ritual yang berasingan, dan bukannya daripada susu tersebut.
Walaupun terdapat penjelasan mengenai aspek teknikal dan tradisi, netizen tetap memberikan reaksi keras. Ramai yang mempersoalkan kewajaran amalan sedemikian dilakukan pada zaman moden ini.
“Bayangkan hidup dalam era AI, tetapi kita masih perlu menyaksikan perbuatan sebegini,” tulis seorang pengguna media sosial.
Sumber: News18 / Buzz Staff