Terkini
Trump ugut hapuskan Iran malam ini
- Menurut Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, tindakan itu bertujuan menekan Iran supaya meninggalkan sebarang usaha memiliki senjata nuklear serta membuka semula laluan strategik Selat Hormuz yang menjadi nadi utama perdagangan minyak global.
- “Seluruh negara itu boleh dihapuskan dalam satu malam, dan malam itu mungkin malam esok(malam ini, Selasa),” kata Trump dalam kenyataannya.
WASHINGTON – Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump memberi amaran akan melancarkan serangan besar-besaran terhadap Iran, termasuk menyasarkan infrastruktur awam, sekiranya Tehran gagal mencapai perjanjian bagi menamatkan konflik yang kini memasuki minggu kelima.
Trump berkata, serangan tersebut berpotensi dilaksanakan seawal malam Selasa (malam ini) dengan sasaran melibatkan loji jana kuasa dan jambatan di seluruh Iran.
Menurut beliau, tindakan itu bertujuan menekan Iran supaya meninggalkan sebarang usaha memiliki senjata nuklear serta membuka semula laluan strategik Selat Hormuz yang menjadi nadi utama perdagangan minyak global.
“Seluruh negara itu boleh dihapuskan dalam satu malam, dan malam itu mungkin malam esok(malam ini, Selasa),” kata Trump dalam kenyataannya.
Beliau turut mendakwa Amerika Syarikat mempunyai pelan ketenteraan yang mampu memusnahkan semua jambatan utama di Iran serta melumpuhkan operasi loji jana kuasa dalam tempoh beberapa jam sahaja.
Trump bagaimanapun menegaskan bahawa beliau berharap tindakan tersebut tidak perlu dilaksanakan, namun memberi bayangan bahawa pilihan ketenteraan tetap berada di atas meja.
Kenyataan keras itu mencetuskan kebimbangan antarabangsa, khususnya apabila sasaran yang disebut melibatkan infrastruktur awam yang lazimnya dilindungi di bawah undang-undang kemanusiaan antarabangsa.
Pengkritik memberi amaran bahawa serangan ke atas loji jana kuasa dan kemudahan awam boleh dianggap sebagai jenayah perang, namun Trump menolak kebimbangan tersebut dengan menyatakan bahawa ancaman senjata nuklear adalah isu yang lebih besar.
Ketegangan antara Amerika Syarikat dan Iran terus memuncak, dengan risiko konflik lebih meluas yang berpotensi mengganggu kestabilan serantau serta bekalan tenaga global.-The Merdeka Times