Terkini
Perang berterusan Israel-Iran sukar dimenangi dengan ketenteraan semata-mata
- Bekas Penasihat Keselamatan Negara Israel, Tzachi Hanegbi berkata perang itu setakat ini belum berjaya menyelesaikan konflik serantau Israel seperti yang dijanjikan Perdana Menteri, Benjamin Netanyahu.
- Hanegbi menegaskan Israel akan terus berdepan musuh serantau seperti Hezbollah walaupun Amerika menghentikan operasi ketenteraan di Iran.
- “Donald Trump mungkin membuat keputusan untuk menghentikan serangan terhadap sasaran Iran dan mahukan gencatan senjata. Apa pun keputusannya, kami akan terima. Namun kami akan teruskan operasi di Lubnan, dan saya yakin Amerika tidak akan menghalang,” katanya.
TEL AVIV – Perang berterusan antara Israel dan Iran dilihat sukar untuk dimenangi hanya melalui kekuatan ketenteraan, meskipun sokongan Amerika Syarikat (AS) membuka ruang kepada strategi baharu dalam konflik tersebut.
Bekas Penasihat Keselamatan Negara Israel, Tzachi Hanegbi berkata, kerjasama ketenteraan antara kedua-dua negara melangkaui jangkaannya sebelum ini.
“Kami dahulu hanya berharap pentadbiran Amerika mengiktiraf ancaman ketenteraan daripada Iran. Hakikat bahawa Israel dan Amerika bekerjasama setiap hari untuk melemahkan keupayaan Iran adalah di luar bayangan saya,” katanya.
Bagaimanapun, perang tersebut setakat ini belum berjaya menyelesaikan konflik serantau Israel seperti yang dijanjikan Perdana Menteri, Benjamin Netanyahu.
Ketika Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, memberi bayangan untuk menamatkan serangan bersama ke atas Iran, tentera Israel masih mengekalkan kehadiran di Gaza dan Syria serta merancang peluasan zon penampan di selatan Lubnan bagi mengekang pengaruh Hezbollah.
Menurut arahan Menteri Pertahanan Israel, kawasan luas di selatan Lubnan akan dijadikan “zon keselamatan”, dengan kira-kira 600,000 penduduk tidak dibenarkan kembali ke rumah mereka sehingga kawasan utara Israel dianggap selamat daripada serangan.
Hanegbi menegaskan Israel akan terus berdepan musuh serantau seperti Hezbollah walaupun Amerika menghentikan operasi ketenteraan di Iran.
“Donald Trump mungkin membuat keputusan untuk menghentikan serangan terhadap sasaran Iran dan mahukan gencatan senjata. Apa pun keputusannya, kami akan terima. Namun kami akan teruskan operasi di Lubnan, dan saya yakin Amerika tidak akan menghalang,” katanya.
Sejak kempen ketenteraan terkini Israel, lebih 1,200 orang dilaporkan terbunuh di Lubnan, manakala hampir 2,000 kematian dicatatkan di Iran akibat serangan gabungan Amerika-Israel.
Pada minggu ini, Netanyahu mendakwa Israel telah melaksanakan 10 “serangan besar” terhadap Iran termasuk mewujudkan “lingkaran keselamatan mendalam” di luar sempadannya.
Namun, penganalisis berpendapat pendekatan tersebut mencetuskan perpecahan politik dalaman Israel.
Pakar strategi Timur Tengah, Burcu Ozcelik, menyatakan terdapat pandangan berbeza sama ada zon penampan itu bertujuan keselamatan sementara atau peluasan wilayah secara kekal.
Dalam masa sama, janji kemenangan besar Israel dalam setiap konflik turut dipersoalkan.
Felo dasar Institut Mitvim, Dahlia Scheindlin, berkata sasaran untuk memusnahkan Hezbollah, Hamas dan Iran masih belum tercapai.
“Janji besar untuk menghapuskan musuh-musuh ini tidak menjadi kenyataan,” katanya.
Beliau turut menyatakan tindakan ketenteraan Israel menimbulkan kebimbangan dalam kalangan negara Arab, sekali gus menjejaskan potensi pembentukan pakatan serantau baharu.
Walaupun Netanyahu mendakwa Israel telah mengubah landskap Timur Tengah, realitinya Iran masih berkuasa, terus melancarkan serangan peluru berpandu dan mengekalkan stok uranium diperkaya tinggi.
Sokongan rakyat Israel terhadap perang yang pada awalnya melebihi 90 peratus kini menurun hampir 20 mata, walaupun kerajaan masih mendapat sokongan majoriti.
Hanegbi menegaskan bahawa Israel tidak mempunyai pilihan selain pendekatan ketenteraan kerana Iran tidak mengiktiraf kewujudannya.
“Kami tidak boleh mencapai sebarang perjanjian dengan Iran. Satu-satunya dialog adalah melalui peluru berpandu,” katanya.
Dengan perbelanjaan pertahanan kini melebihi AS$45 bilion dan ratusan ribu anggota simpanan dikerah, keletihan perang semakin dirasai. – The Merdeka Times