Connect with us

Terkini

Tak akan pertimbang semula keputusan tamat lesen judi – Menteri Besar Kedah

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor, menegaskan pihaknya tidak akan mempertimbangkan semula keputusan menamatkan semua lesen perjudian dan loteri di negeri ini.

WhatsApp
Facebook0
Twitter
Wartawan TMT

Published

on

Tak akan pertimbang semula keputusan tamat lesen judi - Menteri Besar Kedah
Foto: Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor.
  • “Perjudian bukan isu untuk satu kaum saja, sebaliknya ia sudah merosakkan semua kaum di negara ini.” – Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor
  • “Judi tidak pernah menjadi alat membentuk keharmonian kaum,” – Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor
  • Tindakan tidak benarkan premis judi dibuka akan memberi lebih banyak masalah pada masyarakat kerana ia secara tidak langsung menggalakkan kegiatan perjudian haram. – Setiausaha DAP Kedah, Teh Swee Leong
  • Keharmonian kaum hanya boleh dibentuk melalui aktiviti seperti integrasi di sekolah, sukan, silang seni budaya dan bahasa pertuturan yang sama. – Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor

ALOR SETAR: Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor, menegaskan pihaknya tidak akan mempertimbangkan semula keputusan menamatkan semua lesen perjudian dan loteri di negeri ini.

Beliau berpandangan bahawa perjudian bukan isu untuk satu kaum saja, sebaliknya ia sudah merosakkan semua kaum di negara ini.

“Tidak akan ada pertimbangan semula (terhadap keputusan berkenaan). Ini bukan isu satu kaum saja… judi merosakkan semua kaum.

“Judi tidak pernah menjadi alat membentuk keharmonian kaum,” katanya ketika dihubungi, di sini hari ini.

Media sebelum ini melaporkan Setiausaha DAP Kedah, Teh Swee Leong, berkata Kerajaan Kedah diharap dapat mempertimbangkan semula keputusan itu bagi mengekalkan keharmonian kaum dan mengawal masalah sosial.

Swee Leong mendakwa, tindakan tidak membenarkan premis judi dibuka dilihat akan memberi lebih banyak masalah kepada masyarakat kerana ia secara tidak langsung menggalakkan kegiatan perjudian haram.

Mengulas lanjut, Muhammad Sanusi berkata, Swee Leong diminta membuktikan terlebih dahulu bahawa perjudian boleh membentuk keharmonian kaum.

Beliau menjelaskan, ini kerana keharmonian kaum hanya boleh dibentuk melalui aktiviti seperti integrasi di sekolah, sukan, silang seni budaya dan bahasa pertuturan yang sama.

“Suruh dia buktikan judi boleh membentuk keharmonian kaum,” katanya.

Media kelmarin melaporkan semua operasi premis perjudian dan loteri di Kedah kini ditamatkan sepenuhnya susulan keputusan kerajaan negeri ini untuk tidak lagi memperbaharui lesen perjudian yang tamat tempoh pada 31 Disember lalu.

Sehubungan itu, Muhammad Sanusi mengarahkan pihak berkuasa tempatan (PBT) memantau dan memastikan semua premis berkaitan mematuhi arahan berkenaan yang diputuskan pada November 2021.

Sumber: Berita Harian

 

Author