Connect with us

Terkini

Promosi judi di media tempatan makin menjadi-jadi

WhatsApp
Facebook0
Twitter
Research And Development MRM

Published

on

Foto: Gambar Sekadar Hiasan

Di sebuah negara bermajoriti Muslim dengan jumlah penduduk bukan Muslim kurang daripada 12 juta, suatu fenonema yang amat aneh dan membingungkan  sedang berlaku. 

Media tempatan dilihat semakin ghairah mempromosikan aktiviti perjudian dengan melaporkan secara meluas seperti ‘demam loteri’, ‘barisan panjang di kedai judi’ dan ‘jumlah kemenangan jackpot’. 

Fenomena ini menimbulkan kebimbangan kerana media yang sepatutnya mendidik dan mencerdaskan masyarakat, kini bertindak sebaliknya dengan mengheret masyarakat ke arah jurang kebinasaan.

Foto: Berita-berita media tempatan yang mempromosikan perjudian baru-baru ini.

Tidak perlu melihat jauh untuk memahami kesan buruk perjudian. Dari pelbagai statistik, kajian yang telah dilakukan di serata dunia hingga kisah benar yang terjadi kepada mangsa tahi judi sudah cukup menunjukkan aktiviti perjudian adalah barah yang merosakkan dalam masyarakat kita. 

Banyak keluarga yang hancur musnah, berlakunya keganasan rumah tangga, hutang keliling pinggang, penggelapan wang, jenayah dan dadah semuanya berkait rapat dengan penyakit sosial ini. 

Ironinya, meskipun kesan buruk ini amat jelas, media kita tetap memilih untuk menormalisasikan perjudian seolah-olah ia sesuatu yang mendatangkan manfaat.  

Apa yang lebih menyedihkan, normalisasi ini dilakukan secara terang-terangan tanpa mengambil kira kesan jangka panjang kepada masyarakat. 

Apakah mereka tidak sedar bahawa setiap promosi dan iklan yang disiarkan mengundang bencana besar kepada masyarakat? 

Kajian University of Sheffield menunjukkan bahawa pendedahan kepada iklan perjudian bukan sahaja mendorong seseorang untuk berjudi tetapi juga mampu meningkatkan risiko masalah kewangan, konflik keluarga, gangguan kesihatan mental serta jenayah. 

Kajian itu menunjukkan bahawa semakin tinggi pendedahan seseorang kepada iklan perjudian, semakin besar besar risiko seseorang itu untuk terjebak dalam ketagihan judi.

Professor Elizabeth Goyder dari universiti tersebut menegaskan: 

“Mereka yang sudah menghadapi masalah kewangan, sosial, atau mental lebih berisiko terjebak dalam bahaya perjudian, dan iklan hanya memperburuk keadaan yang mendorong mereka untuk terus berjudi.”

Beliau turut mencadangkan agar sekatan terhadap iklan perjudian diperketatkan kerana langkah ini terbukti dapat mengurangkan risiko, terumatanya kepada anak muda dan individu yang rentan kepada aktiviti perjudian. 

Jadi mengapakah media tempat begitu beria-ia menyiarkan iklan dan promosi perjudian? Adakah keuntungan yang menjadi agenda utama sehingga etika dan tanggungjawab media kepada masyarakat terus dibutakan? 

Seharusnya media tempatan mencontohi sikap bertanggungjawab media seperti The Guardian

Media ini secara terang-terangan menolak iklan perjudian demi kepentingan pembaca walaupun keuntungan yang dijana melalui iklan tersebut amat lumayan. 

“Wartawan Guardian telah melaporkan kesan buruk industri perjudian di UK dan Australia, membantu mengubah pandangan masyarakat dan memastikan isu ini kekal menjadi perhatian utama. Kajian menunjukkan terdapat kaitan yang jelas antara pendedahan kepada iklan perjudian dengan peningkatan niat untuk berjudi secara kerap,” tegas Ketua Eksekutifnya, Anna Bateson. 

Beliau bahkan khuatir dengan cara syarikat perjudian menggunakan iklan dalam talian untuk menarik perhatian orang supaya berjudi yang boleh memerangkap dalam “lubang ketagihan”. 

Sebenarnya media boleh berperanan sebagai agen perubahan dengan mengutamakan kepentingan masyarakat, bukan keuntungan semata-mata.

Jika media tempatan terus mengejar keuntungan dan menjadi alat yang digunakan oleh industri perjudian, maka siapa lagi yang akan melindungi masyarakat daripada pengaruh buruk ini?

Sudah tiba masanya pihak berkuasa bangkit menentang normalisasi iklan perjudian yang semakin meluas di media. 

Kerajaan perlu mengetatkan lagi kawalan ke atas iklan perjudian dengan segera dan bukan hanya melihat ia sebagai isu biasa yang boleh dipandang sepi. – The Merdeka Times

Penafian: Artikel yang disiarkan The Merdeka Times ini adalah pandangan peribadi penulis. Ia tidak semestinya menggambarkan pendirian Editorial The Merdeka Times dalam isu yang dikupas.

Author