Terkini
Filipina negara pertama isytihar darurat tenaga akibat konflik Asia Barat
- Presiden Filipina, Ferdinand Marcos Jr. menandatangani satu perintah eksekutif yang secara rasmi mengisytiharkan darurat tersebut serta mengaktifkan tindak balas di seluruh negara bagi menstabilkan bekalan tenaga dan melindungi ekonomi daripada kenaikan kos bahan api.
- Sebagai sebahagian daripada langkah tersebut, kerajaan memperkenalkan rangka kerja sokongan menyeluruh yang dikenali sebagai Unified Package for Livelihoods, Industry, Food, and Transport (UPLIFT).
- Inisiatif berkenaan bertujuan membantu sektor-sektor utama termasuk pengangkutan, pertanian, serta perusahaan mikro, kecil dan sederhana.
MANILA – Filipina menjadi negara pertama yang mengisytiharkan darurat tenaga peringkat nasional sebagai tindak balas terhadap gangguan bekalan global yang semakin meruncing berkaitan konflik semasa di Asia Barat.
Presiden, Ferdinand Marcos Jr. menandatangani satu perintah eksekutif yang secara rasmi mengisytiharkan darurat tersebut serta mengaktifkan tindak balas di seluruh negara bagi menstabilkan bekalan tenaga dan melindungi ekonomi daripada kenaikan kos bahan api, menurut GMA News yang dipetik Anadolu.
Sebagai sebahagian daripada langkah tersebut, kerajaan memperkenalkan rangka kerja sokongan menyeluruh yang dikenali sebagai Unified Package for Livelihoods, Industry, Food, and Transport atau UPLIFT.
Inisiatif berkenaan bertujuan membantu sektor-sektor utama termasuk pengangkutan, pertanian, serta perusahaan mikro, kecil dan sederhana.
Pegawai kerajaan berkata pengisytiharan itu membolehkan pendekatan “keseluruhan kerajaan” dilaksanakan, sekali gus membolehkan pihak berkuasa menggerakkan sumber dengan lebih berkesan, mengurus pengagihan bahan api, dan melaksanakan program bantuan bersasar kepada komuniti yang terjejas.
Negara Asia Tenggara itu mendapatkan hampir 26% bekalan tenaganya dari Timur Tengah, dengan jumlah bil pada tahun 2024 mencecah AS$16 bilion.
Ketegangan serantau di Timur Tengah berterusan sejak Amerika Syarikat dan Israel melancarkan serangan bersama ke atas Iran pada 28 Februari, yang setakat ini telah mengorbankan lebih 1,340 nyawa, termasuk Pemimpin Tertinggi ketika itu, Ali Khamenei.
Iran bertindak balas dengan melancarkan serangan dron dan peluru berpandu berulang kali yang menyasarkan Israel serta negara-negara Teluk yang menempatkan aset ketenteraan Amerika Syarikat.
Tehran juga telah menguasai Selat Hormuz, laluan penting pengangkutan minyak global yang menjadi laluan utama bekalan tenaga ke kebanyakan negara Asia. – The Merdeka Times