Connect with us

Terkini

Hindutva ikrar ganggu sambutan Aidilfitri, ugut bunuh Muslim

Published

on

Foto: Tangkap layar klip video tersebut.
  • Beberapa video yang tular di media sosial memaparkan aktivis Hindutva mengeluarkan amaran keras terhadap komuniti Islam di kawasan berkenaan.
  • Kumpulan pelampau mengancam untuk menghalang umat Islam daripada menyambut Aidilfitri dan berikrar akan “memaksa” mereka bermain perayaan Holi pada hari raya tersebut.
  • “Mereka telah merosakkan Holi kami; kami akan merosakkan hari raya mereka. Masa akan menentukan bagaimana kami melakukannya. Jika kerajaan memberi kami kebebasan, kami akan bunuh mereka.” kata seorang daripada aktivis Hindutva.

NEW DELHI – Suasana cemas menyelubungi kejiranan Uttam Nagar di Barat Delhi apabila puluhan keluarga Muslim dilaporkan mula meninggalkan kediaman mereka, susulan siri ucapan kebencian dan ugutan ganas daripada kumpulan pelampau Hindutva yang berikrar untuk mengganggu sambutan Aidilfitri.

Ketegangan tercetus selepas satu pertikaian peribadi antara dua keluarga yang mengakibatkan kematian seorang pemuda berusia 26 tahun, Tarun Kumar, pada awal Mac lalu ketika perayaan Holi. 

Walaupun pihak polis telah menahan 14 individu dewasa dan dua remaja berhubung kes pembunuhan itu, kumpulan radikal Hindutva didakwa sengaja mengeksploitasi tragedi tersebut bagi mencetuskan huru-hara yang lebih besar.

Beberapa video yang tular di media sosial memaparkan aktivis Hindutva, termasuk individu yang dikenal pasti sebagai Lalit Sharma, mengeluarkan amaran keras terhadap komuniti Islam di kawasan berkenaan. 

Ucapan tersebut secara terbuka mengancam keselamatan penduduk menjelang sambutan Aidilfitri.

Kumpulan pelampau mengancam untuk menghalang umat Islam daripada menyambut Aidilfitri dan berikrar akan “memaksa” mereka bermain perayaan Holi pada hari raya tersebut.

“Mereka telah merosakkan Holi kami; kami akan merosakkan hari raya mereka. Masa akan menentukan bagaimana kami melakukannya. Jika kerajaan memberi kami kebebasan, kami akan bunuh mereka.” kata seorang daripada aktivis Hindutva.

Laporan daripada lapangan menunjukkan persediaan sedang giat dilakukan oleh pihak tertentu untuk mencetuskan rusuhan besar-besaran terhadap penduduk Islam di kawasan Hastsal Village dan sekitarnya.

Jameel Ahmad, salah seorang penduduk tempatan, menyuarakan kebimbangan mendalam terhadap keselamatan keluarganya. 

Menurutnya, ramai jiran tetangganya telah pun berpindah keluar kerana tidak sanggup berdepan dengan ancaman fizikal yang semakin nyata.

“Banyak keluarga sudah pergi. Mereka (kumpulan pelampau) meronda di lorong-lorong kawasan rumah kami sambil melaungkan slogan berunsur provokasi. 

“Kami tidak boleh keluar rumah dengan selamat. Adakah mereka tidak akan membiarkan kami menyambut Aidilfitri dengan tenang?” soal beliau.

Pertubuhan hak asasi, Association for Protection of Civil Rights (APCR), memberi amaran bahawa provokasi ini adalah cubaan terancang untuk memecahbelahkan masyarakat. 

Pihak polis Delhi telah memasang penghadang di lorong-lorong utama dan meningkatkan rondaan, namun sehingga kini penduduk mendakwa tiada tindakan tegas diambil terhadap individu yang menyebarkan video ugutan tersebut.

Pesuruhjaya Polis (Dwarka), Kushal Pal Singh, sebelum ini mengingatkan orang awam agar tidak mempercayai khabar angin atau video palsu yang dihasilkan oleh kecerdasan buatan (AI). 

Bagaimanapun, kegagalan pihak berkuasa untuk membendung ucapan kebencian secara langsung di lapangan telah menyebabkan komuniti minoriti merasa terpinggir dan tidak dilindungi.

Menjelang Aidilfitri yang kian hampir, tumpuan kini terarah kepada keupayaan pihak keselamatan untuk menghalang sebarang bentuk keganasan dan memastikan hak beragama penduduk Islam di Uttam Nagar terpelihara.- The Merdeka Times

Please follow and like us:
error20
fb-share-icon0
Tweet 20
fb-share-icon20

Author