Antarabangsa
Netanyahu muncul semula selepas dakwaan mati, Dakwa Israel bunuh Khamenei dan lumpuhkan Iran
- Dalam satu sidang media pada Khamis, Netanyahu tampil memberi kenyataan rasmi sambil mengumumkan operasi ketenteraan besar Israel terhadap Iran yang menurutnya telah mengubah imbangan kuasa di Timur Tengah.
- Beliau turut menekankan bahawa kerjasama ketenteraan antara Israel dan Amerika Syarikat kini berada pada tahap yang belum pernah berlaku sebelum ini, dengan hubungan rapatnya bersama Presiden AS, Donald Trump memainkan peranan penting dalam penyelarasan operasi tersebut.
TEL AVIV – Perdana Menteri negara haram Israel, Benjamin Netanyahu kembali muncul selepas beberapa hari spekulasi mengenai dakwaan kematiannya tersebar di media antarabangsa dan media sosial.
Dalam satu sidang media pada Khamis, Netanyahu tampil memberi kenyataan rasmi sambil mengumumkan operasi ketenteraan besar Israel terhadap Iran yang menurutnya telah mengubah imbangan kuasa di Timur Tengah.
Menurut Netanyahu, operasi yang dinamakan “Operation Roaring Lion” merupakan sebahagian daripada kempen ketenteraan Israel bersama Amerika Syarikat bagi menghancurkan ancaman Iran serta rangkaian sekutunya di rantau tersebut.
Beliau mendakwa operasi itu menyasarkan apa yang digelar sebagai “paksi kejahatan” yang terdiri daripada kumpulan proksi Iran termasuk Hezbollah di Lubnan, Hamas di Gaza, Houthi di Yaman serta rangkaian sekutu lain yang menyokong Tehran.
Netanyahu turut mendakwa Israel telah melancarkan serangan terhadap pelbagai sasaran strategik Iran termasuk stok peluru berpandu balistik, kilang pengeluaran peluru berpandu serta kemudahan berkaitan program nuklear negara itu.
Beliau juga mendakwa beberapa saintis kanan Iran yang terlibat dalam pembangunan senjata nuklear telah terbunuh dalam operasi berkenaan, yang menurutnya merupakan usaha Israel untuk menghalang Iran daripada memperoleh senjata nuklear.
Dalam kenyataan yang paling kontroversi, Netanyahu turut mendakwa pemimpin tertinggi Iran, Ayatollah Ali Khamenei, telah “dihapuskan” bersama beberapa pegawai kanan rejim tersebut.
Netanyahu menegaskan bahawa operasi tersebut dilaksanakan bagi menghalang Iran daripada membangunkan senjata nuklear dan peluru berpandu balistik yang boleh mengancam Israel, Amerika Syarikat serta negara lain di dunia.
Beliau turut menekankan bahawa kerjasama ketenteraan antara Israel dan Amerika Syarikat kini berada pada tahap yang belum pernah berlaku sebelum ini, dengan hubungan rapatnya bersama Presiden AS, Donald Trump memainkan peranan penting dalam penyelarasan operasi tersebut.
Menurut Netanyahu, tindakan ketenteraan itu juga bertujuan membuka ruang kepada rakyat Iran untuk menggulingkan pemerintahan yang disifatkannya sebagai rejim autoritarian yang telah memerintah negara itu hampir setengah abad.
“Ini bukan lagi Iran yang sama, bukan lagi Timur Tengah yang sama, dan juga bukan lagi Israel yang sama,” kata Netanyahu sambil menegaskan bahawa Israel akan terus bertindak secara proaktif bagi memastikan keselamatan negara haramnya.-The Merdeka Times