Terkini
Muslim Uighur bersahur dalam tandas elak dikesan pihak berkuasa China
- Bekas tahanan kem yang dikenali sebagai Zumrat Dawut mendakwa umat Islam Uighur di Xinjiang terpaksa bersahur secara sembunyi-sembunyi di dalam tandas bagi mengelakkan dikesan pihak berkuasa China.
- Zumrat mendakwa amalan berpuasa pada bulan Ramadan dilakukan secara rahsia kerana bimbang dikenakan tindakan, termasuk ditahan di kem pendidikan semula.
Satu perkongsian di media sosial oleh akaun @doamuslims memaparkan testimoni seorang bekas tahanan kem yang dikenali sebagai Zumrat Dawut, yang mendakwa umat Islam Uighur di Xinjiang terpaksa bersahur secara sembunyi-sembunyi di dalam tandas bagi mengelakkan dikesan pihak berkuasa China.
Dalam rakaman yang tular di Instagram, Zumrat mendakwa amalan berpuasa pada bulan Ramadan dilakukan secara rahsia kerana bimbang dikenakan tindakan, termasuk ditahan di kem pendidikan semula.
Menurutnya, lampu yang dinyalakan pada awal pagi untuk bersahur boleh menimbulkan syak wasangka pihak berkuasa.
Beliau mendakwa ada individu yang bangun sekitar jam 2 hingga 4 pagi untuk bersahur berisiko dilaporkan dan dituduh mengamalkan ibadah puasa secara terbuka.
Situasi itu menyebabkan sesetengah keluarga membuat persiapan makanan lebih awal sebelum Ramadan dan memilih lokasi paling tersembunyi dalam rumah untuk makan.
Menurut testimoni tersebut, tandas menjadi satu-satunya ruang dalam kediaman tanpa tingkap yang tidak mudah dilihat dari luar.
Justeru, ada yang didakwa terpaksa makan sahur di dalam tandas bagi mengelakkan cahaya lampu dikesan jiran atau pihak berkuasa.
Isu layanan terhadap komuniti Uighur di wilayah Xinjiang telah lama mendapat perhatian antarabangsa. Kerajaan China sebelum ini menafikan dakwaan penindasan agama dan menyatakan kem yang diwujudkan adalah pusat latihan vokasional bagi menangani ekstremisme.
Bagaimanapun, pelbagai pertubuhan hak asasi manusia serta beberapa negara Barat mendakwa berlaku pelanggaran hak asasi termasuk sekatan terhadap amalan agama, penahanan besar-besaran dan pemantauan ketat terhadap komuniti Muslim di wilayah berkenaan.
Testimoni seperti yang dikongsikan oleh Zumrat Dawut sering dijadikan rujukan oleh kumpulan advokasi bagi menyorot cabaran yang didakwa dihadapi oleh masyarakat Uighur, khususnya ketika Ramadan.
Sehingga kini, pihak berkuasa China secara konsisten menolak tuduhan berlakunya penindasan agama secara sistematik di Xinjiang dan menegaskan bahawa dasar yang dilaksanakan bertujuan menjamin keselamatan serta kestabilan sosial.-The Merdeka Times