Terkini
Israel lancar ‘Penjajahan 2030’, Galak pengusiran besar-besaran rakyat Palestin
- Pengumuman itu dibuat pada Selasa dalam satu acara anjuran Parti Religious Zionism menjelang pilihan raya nasional yang dijadualkan berlangsung akhir tahun ini.
- “Kita akan menghapuskan idea negara Arab (Palestin)… dan menggalakkan pengusiran besar-besaran dari Gaza serta Judea dan Samaria,” – Menteri Kewangan Israel yang berhaluan kanan, Bezalel Smotrich
RAMALLAH – Menteri Kewangan Israel yang berhaluan kanan, Bezalel Smotrich, mengumumkan kempen dikenali sebagai “Penjajahan 2030” yang menurutnya bertujuan menggalakkan pengusiran besar-besaran rakyat Palestin dari wilayah yang diduduki, termasuk Tebing Barat dan Gaza.
Pengumuman itu dibuat pada Selasa dalam satu acara anjuran Parti Religious Zionism menjelang pilihan raya nasional yang dijadualkan berlangsung akhir tahun ini.
Smotrich, yang juga ahli Kabinet Keselamatan Israel, menyifatkan langkah itu sebagai sebahagian usaha jangka panjang memperkukuh kedaulatan Israel di wilayah berkenaan.
Dalam ucapannya, beliau menyatakan hasrat untuk “membatalkan secara rasmi dan praktikal” Perjanjian Oslo yang dimeterai pada 1990-an antara Israel dan Pertubuhan Pembebasan Palestin (PLO). Perjanjian tersebut menjadi asas kepada pentadbiran terhad Pihak Berkuasa Palestin di sebahagian Tebing Barat.
“Kita akan menghapuskan idea negara Arab (Palestin)… dan menggalakkan pengusiran besar-besaran dari Gaza serta Judea dan Samaria,” katanya, menggunakan istilah Biblikal bagi merujuk kepada Tebing Barat.
Sejak minggu lalu, kerajaan Israel meluluskan beberapa inisiatif yang disokong menteri-menteri berhaluan kanan bagi memperkukuh kawalan ke atas Tebing Barat, termasuk di kawasan yang sebelum ini ditadbir Pihak Berkuasa Palestin di bawah kerangka Oslo.
Antara langkah yang diumumkan termasuk memulakan proses pendaftaran tanah di Tebing Barat sebagai “tanah milik negara” serta membenarkan warga Yahudi Israel membeli tanah secara terus. Sebelum ini, pembelian tanah oleh peneroka lazimnya dilakukan melalui syarikat perantara.
Langkah baharu itu juga memansuhkan undang-undang lama yang melarang warga Yahudi daripada membeli tanah secara langsung di Tebing Barat.
Smotrich sebelum ini menyatakan bahawa perubahan tersebut akan membolehkan pembelian tanah dilakukan seperti di Tel Aviv atau Baitulmaqdis.
Smotrich sendiri menetap di sebuah penempatan Israel di Tebing Barat dan dilihat sebagai antara tokoh utama yang mendorong peluasan penempatan Yahudi di wilayah tersebut.
Langkah terbaharu ini dijangka menambah ketegangan di wilayah berkenaan, di tengah-tengah kritikan antarabangsa terhadap peluasan penempatan Israel yang dianggap melanggar undang-undang antarabangsa oleh sebahagian besar komuniti global.-The Merdeka Times