Connect with us

Terkini

Himpunan Gerakan Anti Rumah Anutan Haram esok pertahan kedaulatan undang-undang, tiada unsur perkauman, agama

Published

on

Foto: Penyelaras Gerakan Anti Rumah Anutan Haram, Zamri Vinoth
  • Penyelaras Gerakan Anti Rumah Anutan Haram, Zamri Vinoth berkata perhimpunan itu dianjurkan semata-mata bagi mempertahankan kedaulatan undang-undang dan membanteras jenayah pencerobohan yang semakin berleluasa, tanpa mengira bangsa atau agama.
  • Menurut beliau, pihak tertentu sebenarnya cuba menutup kebenaran bahawa isu jenayah pencerobohan semakin serius dari tahun ke tahun.
  • Zamri turut menegaskan bahawa tindakan sepatutnya diambil kepada individu-individu atau pihak-pihak yang cuba memainkan sentimen perkauman dan agama sejak awal lagi.

KUALA LUMPUR – Himpunan Gerakan Anti Rumah Anutan Haram yang akan diadakan esok adalah sebuah perhimpunan yang berlandaskan undang-undang serta tidak mempunyai sebarang kaitan dengan isu perkauman atau agama, tegas penyelaras gerakan tersebut, Zamri Vinoth.

Menurut beliau, perhimpunan itu dianjurkan semata-mata bagi mempertahankan kedaulatan undang-undang dan membanteras jenayah pencerobohan yang semakin berleluasa, tanpa mengira bangsa atau agama.

“Saya nak kita semua faham perhimpunan ini adalah perhimpunan berlandaskan undang-undang, perhimpunan ini juga tiada kaitan dengan mana-mana kaum mahupun agama.

“Ia adalah perhimpunan berkaitan dengan mendaulatkan undang-undang, di mana kami nak banteras jenayah ceroboh, kerana jenayah ini, tidak kenal agama atau bangsa,” katanya kepada The Merdeka Times.

Beliau mendakwa terdapat pihak yang sengaja memutarbelitkan isu jenayah pencerobohan dengan mengaitkannya kepada kaum dan agama bagi mengaburi fakta sebenar.

“Pada pandangan saya, ini adalah isu jenayah ceroboh, yang perlu diuruskan di bawah kerangka jenayah.

“Saya nampak pihak lain yang cuba kaitkan isu jenayah ini dengan isu agama dan isu bangsa,” tegasnya.

Menurut beliau, pihak tertentu sebenarnya cuba menutup kebenaran bahawa isu jenayah pencerobohan semakin serius dari tahun ke tahun.

“Mereka sebenarnya bukannya nak mengetengahkan isu atau nak buat penyelesaian kepada isu pencerobohan ini. 

“Tetapi mereka nak memutarbelitkan, atau cari alasan supaya orang ramai tak tahu yang sebenarnya isu jenayah ceroboh ini makin berleluasa, hari demi hari dan tahun demi tahun,” jelasnya.

Zamri turut menegaskan bahawa tindakan sepatutnya diambil kepada individu-individu atau pihak-pihak yang cuba memainkan sentimen perkauman dan agama sejak awal lagi.

Beliau berkata, walaupun perhimpunan itu belum berlangsung, pelbagai andaian buruk telah dilemparkan yang disifatkannya sebagai cubaan menghasut masyarakat.

“Perhimpunan belum lagi berlaku pun tetapi mereka telah buat pelbagai andaian-andaian jahat.

“Pada pandangan saya sebenarnya mereka sedang menghasut masyarakat untuk kaitkan benda ini dengan kaum dan agama sedangkan ini adalah isu kedaulatan undang-undang. Ia sangat jelas,” katanya.

Zamri memberi jaminan bahawa perhimpunan tersebut akan diteruskan dan dilaksanakan sepenuhnya mengikut lunas undang-undang.

“Perhimpunan akan tetap diteruskan Insya-Allah, satu kepastian yang kami bagi, kami buat perhimpunan ini berlandaskan undang-undang dan perhimpunan ini akan berjalan dengan mengikut lunas undang-undang yang sedia ada,” ujarnya.

Sebanyak 141 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bergabung di bawah Gerakan Anti Rumah Anutan Haram akan menganjurkan satu perhimpunan aman pada Sabtu ini di hadapan pekarangan pusat beli-belah Sogo, di sini, bermula pukul 8 malam. – The Merdeka Times

Please follow and like us:
error20
fb-share-icon0
Tweet 20
fb-share-icon20

Author