Connect with us

Terkini

Tibi boleh dikawal jika kontak rapat disaring – Pakar UM

Published

on

Foto: Pakar Perubatan Keluarga, Pusat Perubatan Universiti Malaya, Dr Megat Mohamad Amirul Amzar Megat Hashim.
  • Menurut Pakar Perubatan Keluarga, Pusat Perubatan Universiti Malaya, Dr Megat Mohamad Amirul Amzar Megat Hashim, garis panduan mengenainya sebenarnya sudah lama disediakan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), namun kejayaan pelaksanaannya bergantung kepada kesedaran dan kerjasama masyarakat.
  • “Pendapat peribadi saya, tibi boleh dikawal dan dikurangkan jika masyarakat faham bahawa ini adalah tanggungjawab bersama.
  • Jika ahli keluarga atau rakan sepejabat disahkan menghidap tibi, kontak rapat perlu tampil untuk saringan walaupun tidak mempunyai gejala,” katanya.

KUALA LUMPUR – Pengesanan kontak rapat, saringan awal dan rawatan lengkap merupakan langkah paling penting untuk mengawal penularan penyakit tibi di Malaysia, kata Pakar Perubatan Keluarga, Pusat Perubatan Universiti Malaya, Dr Megat Mohamad Amirul Amzar Megat Hashim.

Menurut beliau, garis panduan mengenainya sebenarnya sudah lama disediakan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), namun kejayaan pelaksanaannya bergantung kepada kesedaran dan kerjasama masyarakat.

“Apa yang diperlukan ialah pengesanan kontak rapat, saringan, dan rawatan lengkap, sama ada bagi tibi aktif atau tibi pendam. Garis panduan ini sebenarnya sudah lama disediakan oleh KKM.

“Pendapat peribadi saya, tibi boleh dikawal dan dikurangkan jika masyarakat faham bahawa ini adalah tanggungjawab bersama.

“Jika ahli keluarga atau rakan sepejabat disahkan menghidap tibi, kontak rapat perlu tampil untuk saringan walaupun tidak mempunyai gejala,” katanya.

Dr Megat menjelaskan bahawa Malaysia masih diklasifikasikan sebagai negara endemik tibi dengan anggaran sekitar 100 kes bagi setiap 100,000 penduduk, iaitu tahap beban sederhana mengikut penarafan global.

Tibi atau Tuberculosis (TB) berpunca daripada bakteria Mycobacterium tuberculosis yang lazimnya menyerang paru-paru, namun boleh menjangkiti organ lain seperti kelenjar, tulang dan otak.

Penyakit ini merebak melalui udara dan titisan pernafasan apabila pesakit batuk atau bersin, namun penularannya tidak sepantas influenza atau COVID-19 kerana ia biasanya memerlukan kontak rapat dalam tempoh yang panjang, khususnya di kawasan sesak dan pengudaraan kurang baik.

Beliau turut menjelaskan cabaran utama pengawalan tibi ialah kewujudan tibi pendam, iaitu keadaan di mana individu dijangkiti tetapi tidak menunjukkan simptom dan tidak berjangkit.

Namun apabila sistem imun lemah, ia boleh bertukar menjadi tibi aktif dan mula menjangkiti orang lain.

Dalam tempoh dua hingga tiga tahun kebelakangan ini, fokus saringan turut diperluaskan kepada pengesanan dan rawatan tibi pendam sebagai langkah menurunkan kadar jangkitan.

Rawatan tibi pula memerlukan tempoh sekurang-kurangnya enam bulan dan mesti dihabiskan sepenuhnya.

Kegagalan melengkapkan rawatan boleh menyebabkan penyakit berulang serta meningkatkan risiko kuman menjadi kebal ubat, sekali gus menjadikan rawatan lebih kompleks dan mahal.

Dr Megat menegaskan bahawa tibi bukan penyakit yang memerlukan penutupan menyeluruh seperti pandemik COVID-19, sebaliknya memerlukan tindakan berfokus melalui saringan dan rawatan sistematik.

Beliau percaya dengan kefahaman dan tanggungjawab bersama masyarakat, kadar jangkitan tibi di Malaysia boleh dikurangkan secara berperingkat.

Semalam KKM mengesahkan satu kluster tibi di Kota Tinggi pada 25 Januari lalu dengan sebanyak 33 kes positif dikesan hasil saringan ke atas 804 kontak rapat setakat 4 Februari.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, berkata pasukan KKM kini berada di lapangan dan sedang mengambil tindakan agresif bagi membendung penularan wabak berkenaan.-The Merdeka Times

Please follow and like us:
error20
fb-share-icon0
Tweet 20
fb-share-icon20

Author