Terkini
Bekas Menteri Pertahanan Israel: Konsep ketuanan Yahudi di Israel mirip ideologi Nazi
- “Kerajaan ‘ketuanan Yahudi’ adalah kerajaan pembohongan dan pengkhianatan, kerajaan golongan extremis agama dan perasuah, mesti digantikan sebelum kehancuran berlaku” – Bekas Menteri Pertahanan Israel, Moshe Ya’alon.
- Melalui hantaran di platform X, beliau memberi amaran bahawa sekiranya kerajaan Israel yang seterusnya tidak mengubah haluan, ideologi ketuanan Yahudi akan “membawa kehancuran kepada negara”.
TEL AVIV – Bekas Menteri Pertahanan Israel, Moshe Ya’alon, membandingkan ketuanan Yahudi di Israel dengan ideologi Nazi.
Ya’alon mengkritik peningkatan keganasan peneroka haram Israel dalam satu hantaran di platform X pada hujung minggu lalu.
Hantaran itu dibuat susulan satu serangan minggu lalu terhadap rakyat Palestin berhampiran bandar Hebron di Tebing Barat yang diduduki, di mana peneroka mencuri kambing milik rakyat Palestin dan membakar harta benda.
Beliau berkata “pengganas Yahudi” telah menyekat ambulans daripada memasuki kawasan tersebut, sekali gus melambatkan rawatan perubatan untuk tiga rakyat Palestin yang cedera dalam serangan itu, yang kemudiannya dibawa ke hospital.
Ya’alon menambah bahawa walaupun tentera Israel memaklumkannya bahawa insiden itu sedang ditangani, tiada sebarang tindakan diambil.
“Tiada seorang pun pengganas Yahudi ditangkap (seperti dalam banyak kes lain), kerana polis Israel dikawal oleh seorang penjenayah yang telah disabitkan kesalahan, seorang rasis dan fasis Kahanis,” katanya, merujuk kepada Itamar Ben Gvir, menteri keselamatan negara Israel.
Beliau juga mendakwa bahawa Shin Bet, agensi keselamatan dalam negeri Israel, dikawal oleh wakil “ketuanan Yahudi”, merujuk kepada David Zini, ketua agensi tersebut yang baru dilantik.
Di bawah undang-undang antarabangsa, semua penempatan Israel di wilayah Palestin yang diduduki adalah haram.
“Ideologi ‘ketuanan Yahudi’ yang kini menjadi dominan dalam kerajaan Israel menyerupai teori perkauman Nazi,” kata Ya’alon.
Beliau memberi amaran bahawa sekiranya kerajaan Israel yang seterusnya tidak mengubah haluan, ideologi ketuanan Yahudi akan “membawa kehancuran kepada negara”.
“Kerajaan ‘ketuanan Yahudi’ adalah kerajaan pembohongan dan pengkhianatan, kerajaan golongan extremis agama dan perasuah, mesti digantikan sebelum kehancuran berlaku,” katanya. – The Merdeka Times