Terkini
Tampal poster palestin: Visa pasangan Britain dibatal, diarah tinggalkan India segera
- Pihak berkuasa India telah mengarahkan dua warganegara Britain meninggalkan negara itu selepas mereka dituduh menampal poster pro-Palestin di Rajasthan, barat India, dengan alasan melanggar syarat visa pelancong.
- Mesej pada poster tersebut termasuk slogan seperti “Free Palestine” dan “Boycott Israel”.
- Polis berkata siasatan mendapati aktiviti itu merupakan bentuk advokasi politik, yang dilarang di bawah syarat visa pelancong.
PUSHKAR – Pihak berkuasa India telah mengarahkan dua warganegara Britain meninggalkan negara itu selepas mereka dituduh menampal poster pro-Palestin di Rajasthan, barat India, dengan alasan melanggar syarat visa pelancong.
Pasangan tersebut, yang dikenal pasti sebagai Lewis Gabriel Dee dan Anushi Emma Christine, sedang mengembara menggunakan visa pelancong dan menginap di Pushkar apabila pegawai tempatan menerima aduan pada 21 Januari mengenai poster di beberapa lokasi awam, menurut laporan media India yang dipetik TRT.
Mesej pada poster tersebut termasuk slogan seperti “Free Palestine” dan “Boycott Israel”.
Polis berkata siasatan mendapati aktiviti itu merupakan bentuk advokasi politik, yang dilarang di bawah syarat visa pelancong.
Jabatan Siasatan Jenayah negeri kemudiannya mengeluarkan notis membatalkan visa pasangan itu di bawah Akta Imigresen dan Orang Asing 2025, serta mengarahkan mereka meninggalkan India dengan segera.
Seorang pegawai kanan polis memberitahu media tempatan bahawa pihak berkuasa mengekalkan pemantauan ketat terhadap pelawat asing dan memberi amaran bahawa pelanggaran peraturan boleh membawa kepada pengusiran dan kemungkinan disenarai hitam.
Pushkar merupakan destinasi pelancongan terkenal dan sering dikunjungi pelancong Israel, termasuk ramai yang melancong ke India selepas menamatkan perkhidmatan ketenteraan, menurut laporan tempatan.
India telah mengelakkan kecaman terbuka terhadap tindakan Israel di Gaza, walaupun ia terus menyokong penyelesaian dua negara di forum antarabangsa.
Hubungan antara New Delhi dan Tel Aviv semakin erat sejak beberapa tahun kebelakangan ini, dengan Israel muncul sebagai salah satu rakan pertahanan utama India.
Pihak berkuasa India belum mengeluarkan kenyataan rasmi mengenai kes ini. – The Merdeka TImes