Connect with us

Terkini

1,268 rakyat Palestin mati menunggu rawatan di Gaza

Published

on

Foto: Kesengsaraan rakyat Gaza.
  • Kementerian Kesihatan Gaza memaklumkan ia susulan penutupan haram berterusan pintu sempadan Rafah oleh zionis.
  • Kira-kira 20,000 pesakit kini berada dalam senarai menunggu untuk mendapatkan rawatan di luar Gaza.
  • Jumlah tersebut merangkumi 4,000 pesakit kanser serta 4,500 kanak-kanak, yang sebahagian besarnya memerlukan rawatan segera dan khusus.

GAZA – Kementerian Kesihatan Gaza memaklumkan bahawa 1,268 pesakit meninggal dunia ketika menunggu kebenaran untuk keluar dari Gaza bagi mendapatkan rawatan perubatan, susulan penutupan haram berterusan pintu sempadan Rafah oleh zionis.

Menurut kementerian itu, kira-kira 20,000 pesakit kini berada dalam senarai menunggu untuk mendapatkan rawatan di luar Gaza selepas rujukan perubatan mereka diluluskan.

Jumlah tersebut merangkumi 4,000 pesakit kanser serta 4,500 kanak-kanak, yang sebahagian besarnya memerlukan rawatan segera dan khusus.

Kementerian Kesihatan memberi amaran bahawa penutupan pintu Rafah bagi pesakit dan mereka yang cedera telah memburukkan keadaan kesihatan, sekali gus mendorong ramai ke tahap kritikal dan mengancam nyawa.

Menurut kenyataan itu, kekurangan ubat-ubatan dan bekalan perubatan, keruntuhan perkhidmatan rawatan khusus serta kemusnahan infrastruktur hospital telah menyebabkan senarai menunggu rawatan di luar Gaza terus meningkat.

Pegawai kesihatan turut memaklumkan bahawa 440 pesakit berada dalam keadaan kritikal dan memerlukan rawatan menyelamatkan nyawa dengan segera.

Pesakit kanser antara yang paling terkesan berikutan ketiadaan rawatan khusus dan perkhidmatan diagnostik di Gaza.

Kementerian itu menyatakan bahawa sejak Israel menutup pintu sempadan Rafah pada 7 Mei 2024, hanya kira-kira 3,100 pesakit berjaya keluar dari Gaza untuk mendapatkan rawatan perubatan.

Kementerian Kesihatan Gaza menegaskan bahawa pembukaan semula pintu Rafah, kelulusan perjalanan pesakit serta kemasukan berterusan bekalan perubatan asas merupakan talian hayat terakhir bagi ribuan pesakit yang kini berada dalam keadaan terdesak.-The Merdeka Times

Please follow and like us:
error20
fb-share-icon0
Tweet 20
fb-share-icon20

Author