Terkini
Hamas kecam penyertaan Netanyahu dalam Lembaga Keamanan Trump
- Hamas menyifatkan tindakan itu sebagai satu “keputusan berbahaya” yang bercanggah dengan prinsip keadilan dan pertanggungjawaban.
- Hamas berkata ia “dengan tegas mengecam kemasukan penjenayah perang Netanyahu, yang dikehendaki oleh ICC, ke dalam Lembaga Keamanan dan menganggapnya sebagai isyarat serius yang menentang keadilan dan pertanggungjawaban.”
- Kumpulan itu menjelaskan Netanyahu terus menghalang gencatan senjata di Gaza, mensasarkan orang awam, memusnahkan kawasan perumahan dan infrastruktur awam, serta menyerang tempat perlindungan, walaupun gencatan senjata telah berkuat kuasa sejak lebih tiga bulan lalu.\
GAZA – Hamas telah mengecam kemasukan Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, ke dalam “Lembaga Keamanan” yang diumumkan Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, dengan menyifatkannya sebagai satu “keputusan berbahaya” yang bercanggah dengan prinsip keadilan dan pertanggungjawaban.
Kritikan itu dibuat ketika Netanyahu berdepan pertuduhan Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) berkaitan dakwaan jenayah perang di Gaza.
Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan dan dipetik Roya News, Hamas berkata ia “dengan tegas mengecam kemasukan penjenayah perang Netanyahu, yang dikehendaki oleh ICC, ke dalam Lembaga Keamanan dan menganggapnya sebagai isyarat serius yang menentang keadilan dan pertanggungjawaban.”
Kumpulan itu menambah bahawa Netanyahu terus menghalang gencatan senjata di Gaza, mensasarkan orang awam, memusnahkan kawasan perumahan dan infrastruktur awam, serta menyerang tempat perlindungan, walaupun gencatan senjata telah berkuat kuasa sejak lebih tiga bulan lalu.
Hamas menegaskan bahawa mencapai kestabilan di Gaza memerlukan penamatan pelanggaran oleh Israel serta memastikan mereka yang bertanggungjawab atas pembunuhan beramai-ramai dan kebuluran sistematik dibawa ke muka pengadilan, dengan Netanyahu berada di barisan hadapan.
Pejabat Netanyahu mengesahkan pada Rabu bahawa beliau telah menerima jemputan Trump untuk menyertai Lembaga Keamanan tersebut, yang bertujuan menghimpunkan pemimpin dunia.
Namun, banyak negara telah menyatakan keraguan untuk turut serta.
Piagam Lembaga Keamanan itu ditandatangani pada hari Khamis di Davos, Switzerland, dalam satu majlis dihadiri Trump dan wakil dari 22 buah negara, termasuk Bahrain, Maghribi, Argentina, Indonesia, Jordan, Pakistan, Qatar, Arab Saudi, Turki dan Emiriah Arab Bersatu.
Hamas menyifatkan Pendudukan Israel sebagai “punca keganasan dan ancaman langsung terhadap keselamatan dan keamanan serantau serta antarabangsa,” sambil menegaskan bahawa kestabilan sebenar hanya boleh dicapai dengan menamatkan pelanggaran oleh “Israel” dan memastikan pertanggungjawaban atas jenayah terhadap rakyat Palestin.
Netanyahu tidak menghadiri majlis perasmian di Davos, berikutan pematuhan Switzerland terhadap waran tangkap ICC yang dikeluarkan terhadapnya atas jenayah perang dan jenayah terhadap kemanusiaan di Gaza.
ICC telah mengeluarkan waran tangkap terhadap Netanyahu dan Galant pada November 2024, dengan menuduh mereka melakukan jenayah perang dan jenayah terhadap kemanusiaan semasa operasi ketenteraan “Israel” di Gaza pada tahun 2023, yang berlangsung selama dua tahun dan mengakibatkan lebih 71,000 kematian serta lebih 171,000 kecederaan. – The Merdeka Times