Connect with us

Terkini

India tutup kolej perubatan selepas dipenuhi pelajar muslim

Published

on

Foto: Shri Mata Vaishno Devi Medical Institute.
  • Menurut laporan media AlJazeera, daripada 50 pelajar yang menyertai program Ijazah Sarjana Muda Perubatan dan Pembedahan (MBBS) selama lima tahun pada November lalu, 42 orang merupakan pelajar Muslim manakala tujuh pelajar Hindu dan seorang pelajar Sikh.
  • Kumpulan Hindu tempatan mula mempersoalkan komposisi agama pengambilan pertama tersebut dan mengadakan protes berterusan dan menuntut kemasukan pelajar Muslim dibatalkan, dengan alasan kolej itu dikatakan dibiayai hasil sumbangan penganut di Kuil Mata Vaishno Devi, sebuah pusat ibadat Hindu terkenal.

INDIA – India menutup sebuah kolej perubatan di Kashmir susulan bantahan kumpulan sayap kanan Hindu, selepas kemasukan pelajar bagi pengambilan pertama program perubatan di institusi itu didominasi pelajar Muslim.

Badan pengawal selia pendidikan serta amalan perubatan India, National Medical Commission (NMC) pada 6 Januari menarik balik pengiktirafan Shri Mata Vaishno Devi Medical Institute (SMVDMI) yang terletak di daerah Reasi, kawasan pergunungan berhampiran Banjaran Pir Panjal yang memisahkan wilayah Jammu dan Lembah Kashmir.

Menurut laporan media AlJazeera, daripada 50 pelajar yang menyertai program Ijazah Sarjana Muda Perubatan dan Pembedahan (MBBS) selama lima tahun pada November lalu, 42 orang merupakan pelajar Muslim, kebanyakannya penduduk Kashmir, manakala tujuh pelajar Hindu dan seorang pelajar Sikh.

Ia merupakan kohort MBBS pertama yang dilancarkan oleh kolej swasta berkenaan, yang diasaskan oleh sebuah badan kebajikan agama Hindu serta menerima sebahagian pembiayaan kerajaan.

Kemasukan ke kolej perubatan di India, sama ada kolej awam atau swasta, ditentukan melalui peperiksaan kemasukan berpusat dikenali sebagai National Entrance Examination Test (NEET) yang dikendalikan agensi di bawah Kementerian Pendidikan India.

Setiap tahun lebih dua juta calon menduduki peperiksaan itu bagi merebut kira-kira 120,000 tempat MBBS, dengan majoriti calon mengutamakan kolej kerajaan kerana yuran lebih rendah, namun syarat kelayakan dan tahap persaingan jauh lebih tinggi.

Seorang pelajar Kashmir, Saniya Jan (nama samaran) memberitahu beliau memilih SMVDMI kerana kedudukannya lebih hampir dengan tempat tinggalnya di Baramulla berbanding kolej lain, sekaligus memudahkan pelajar Kashmir yang lazimnya terpaksa merantau jauh untuk melanjutkan pengajian.

Namun suasana berubah apabila kumpulan Hindu tempatan mula mempersoalkan komposisi agama pengambilan pertama tersebut.

Kumpulan berkenaan kemudian mengadakan protes berterusan dan menuntut kemasukan pelajar Muslim dibatalkan, dengan alasan kolej itu dikatakan dibiayai hasil sumbangan penganut di Kuil Mata Vaishno Devi, sebuah pusat ibadat Hindu terkenal.

Malah, beberapa ahli politik Bharatiya Janata Party (BJP) turut mengemukakan petisyen kepada Leftenan Gabenor Kashmir supaya kemasukan di SMVDMI dikhaskan untuk pelajar Hindu sahaja, sebelum tuntutan berkembang sehingga mendesak penutupan kolej itu.

Ketika bantahan memuncak, NMC memaklumkan pengiktirafan SMVDMI ditarik balik kerana didakwa gagal memenuhi “standard minimum” yang ditetapkan kerajaan bagi pendidikan perubatan, termasuk isu berkaitan tenaga pengajar, kadar penggunaan katil, aliran pesakit di jabatan pesakit luar, perpustakaan serta dewan pembedahan.

Bagaimanapun, beberapa pelajar menolak dakwaan itu dan menyifatkan kolej berkenaan mempunyai kemudahan mencukupi, manakala penganalisis politik di Jammu, Zafar Choudhary, mempersoalkan bagaimana kelemahan infrastruktur boleh timbul secara mendadak selepas kolej itu sebelum ini diberikan kelulusan.

Susulan keputusan tersebut, pelajar dilaporkan pulang ke rumah, namun Ketua Menteri Kashmir yang ditadbir India, Omar Abdullah, memberi jaminan mereka tidak akan dibiarkan terjejas dan akan ditempatkan ke kolej lain menerusi penambahan tempat khas supaya pengajian mereka dapat diteruskan.-The Merdeka Times

Please follow and like us:
error20
fb-share-icon0
Tweet 20
fb-share-icon20

Author