Terkini
Usia 6 tahun ke tahun 1: Kriteria, saringan terperinci elak beban kepada murid, guru – Ahli akademik
- Pensyarah Fakulti Sains Pendidikan dan Teknologi, UTM, Prof. Madya Dr. Abdul Halim Abdullah berkata, kriteria lebih terperinci perlu diumumkan bagi memastikan murid enam tahun yang diterima ke Tahun Satu mampu bersaing dengan murid berusia tujuh tahun, sekali gus mengelakkan beban tambahan kepada guru.
- Dr. Abdul Halim menjelaskan, tahap kesediaan kanak-kanak adalah bersifat subjektif dan tidak boleh disamakan.
- Beliau turut mengakui terdapat ibu bapa yang menitikberatkan pendidikan anak-anak dan bersedia menyediakan pendidikan tambahan bagi memastikan anak mereka lebih matang dan bersedia memasuki sekolah rendah lebih awal.
KUALA LUMPUR – Pelaksanaan dasar kemasukan sukarela kanak-kanak berusia enam tahun ke sekolah rendah perlu disertai dengan peraturan dan saringan yang jelas oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) bagi memastikan ia tidak membebankan guru serta menjejaskan perkembangan murid, kata ahli akademik.
Pensyarah Fakulti Sains Pendidikan dan Teknologi, Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Prof. Madya Dr. Abdul Halim Abdullah berkata, walaupun pengumuman awal telah dibuat oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, perincian sebenar berkaitan syarat kemasukan wajar ditentukan sepenuhnya oleh KPM.
“Memang semalam Perdana Menteri umumkan kanak-kanak umur enam tahun masuk sekolah rendah, tapi saya pasti peraturan serta syarat-syarat terperinci kemasukan akan disediakan oleh pihak Kementerian Pendidikan.
“Contohnya seperti ujian saringan bagi tengok sama ada kanak-kanak itu sudah boleh membaca, atau menulis, kerana kita tidak mahu ibu bapa dah sedia tetapi anak tidak sedia,” katanya kepada The Merdeka Times.
Menurut beliau, kriteria yang lebih terperinci perlu diumumkan bagi memastikan murid enam tahun yang diterima masuk ke Tahun Satu mampu bersaing dengan murid berusia tujuh tahun, sekali gus mengelakkan beban tambahan kepada guru.
Dr. Abdul Halim menjelaskan, tahap kesediaan kanak-kanak adalah bersifat subjektif dan tidak boleh disamakan.
Beliau turut mengakui terdapat ibu bapa yang menitikberatkan pendidikan anak-anak dan bersedia menyediakan pendidikan tambahan bagi memastikan anak mereka lebih matang dan bersedia memasuki sekolah rendah lebih awal.
“Perkara ini adalah subjektif, sama ada mereka sudah bersedia atau belum pada usia enam tahun itu nanti, kita tidak boleh nak cakap kepada semua kanak-kanak usia lima tahun sekarang mereka semua dah bersedia, tak boleh nak cakap macam itu.
“Tapi mungkin ibu bapa yang pentingkan kepentingan pendidikan anak-anak untuk masuk ke Tahun Satu di awal usia boleh membantu dengan melatih membaca, menulis, serta bantu mereka dari segi emosi dan fikiran untuk ke alam persekolahan,” jelasnya.
Sehubungan itu, beliau menegaskan penilaian menyeluruh perlu dilaksanakan sebelum dasar ini dikuatkuasakan sepenuhnya pada tahun 2027.
Beliau berkata, walaupun terdapat potensi manfaat kepada murid yang lebih bersedia dan cerdas, pemantauan berterusan perlu dilakukan agar perkembangan emosi dan jiwa kanak-kanak tidak terjejas.
Katanya, dasar itu bersifat pilihan dan ibu bapa perlu membuat pertimbangan sewajarnya berdasarkan tahap kesediaan anak masing-masing.
“Saya ingin tekankan, bahawa perlunya pemantauan berterusan, kena pastikan jiwa kanak-kanak masih berjiwa kanak-kanak jadi pembelajaran bersesuaian dengan umur perlu dilaksanakan.”
“Jadi saringan dan peraturan perlu dilepasi oleh kanak-kanak, ibu bapa perlu fikir cara juga untuk sediakan anak-anak, tetapi kena ingat ia hanya pilihan bukan wajib,” katanya.
Beliau yakin kerajaan telah menjalankan kajian menyeluruh sebelum membuat keputusan dan berharap dasar tersebut akan memberi kesan positif kepada rakyat serta negara. – The Merdeka Times