Connect with us

Terkini

Sekatan laut AS ke atas Venezuela haram – PBB

Published

on

Foto: Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
  • Dalam satu kenyataan bersama pada Rabu, pakar-pakar PBB menegaskan bahawa tiada hak di sisi undang-undang antarabangsa untuk menguatkuasakan sekatan unilateral melalui sekatan laut bersenjata seperti yang dilakukan AS.
  • “Sekatan laut merupakan penggunaan kekuatan ketenteraan yang dilarang terhadap negara lain di bawah Piagam PBB,” menurut kenyataan itu.
  • Sejak September lalu, tentera AS dilapor melancarkan puluhan serangan udara terhadap bot-bot yang didakwa membawa dadah.
  • Namun, sehingga kini Washington gagal mengemukakan bukti bagi menyokong tuduhan tersebut. Lebih 100 orang dilaporkan terbunuh dalam siri serangan berkenaan.

Empat pakar hak asasi manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengecam tindakan Amerika Syarikat (AS) melaksanakan sekatan laut separa terhadap Venezuela, menyifatkannya sebagai pencerobohan bersenjata yang menyalahi undang-undang antarabangsa, selain menggesa Kongres AS campur tangan bagi menghentikan tindakan tersebut.

Dalam satu kenyataan bersama pada Rabu, pakar-pakar PBB menegaskan bahawa tiada hak di sisi undang-undang antarabangsa untuk menguatkuasakan sekatan unilateral melalui sekatan laut bersenjata.

Menurut mereka, AS telah mengerahkan kekuatan ketenteraan besar di Laut Caribbean dan memintas kapal-kapal tangki minyak sebagai sebahagian daripada sekatan laut terhadap kapal Venezuela yang dianggap berada di bawah rejim sekatan Washington.

“Sekatan laut merupakan penggunaan kekuatan ketenteraan yang dilarang terhadap negara lain di bawah Piagam PBB,” menurut kenyataan itu.

Mereka menambah bahawa tindakan sedemikian adalah satu penggunaan kekuatan yang amat serius sehingga diiktiraf secara jelas sebagai pencerobohan bersenjata haram di bawah Definisi Pencerobohan Perhimpunan Agung PBB 1974.

Pakar-pakar tersebut memberi amaran bahawa penggunaan kekuatan secara haram, termasuk ancaman menggunakan kekuatan lanjut di laut dan darat, telah membahayakan hak untuk hidup serta hak asasi lain rakyat Venezuela dan juga negara-negara di rantau itu.

Presiden AS, Donald Trump, sebelum ini menuduh Venezuela menggunakan hasil minyak, sumber utama negara Amerika Selatan itu bagi membiayai kegiatan “narkoterorisme, pemerdagangan manusia, pembunuhan dan penculikan”.

Namun, Caracas menafikan sekeras-kerasnya dakwaan penglibatan dalam penyeludupan dadah dan mendakwa Washington berusaha menggulingkan Presiden Nicolas Maduro untuk merampas rizab minyak negara itu, yang terbesar di dunia.

Sejak September lalu, tentera AS dilaporkan melancarkan puluhan serangan udara terhadap bot-bot yang didakwa membawa dadah.

Namun, sehingga kini Washington gagal mengemukakan bukti bagi menyokong tuduhan tersebut. Lebih 100 orang dilaporkan terbunuh dalam siri serangan berkenaan.

Mengulas lanjut, pakar PBB berkata pembunuhan yang berlaku akibat tindakan ketenteraan itu merupakan pelanggaran hak untuk hidup dan mesti disiasat secara menyeluruh, dengan pihak bertanggungjawab diheret ke muka pengadilan.

“Malah, Kongres Amerika Syarikat perlu campur tangan dengan segera untuk menghalang serangan lanjut dan menamatkan sekatan laut tersebut,” tegas mereka.

Pakar-pakar itu turut menyeru negara-negara lain mengambil langkah bagi menghentikan sekatan laut dan pembunuhan haram, serta memastikan pelaku dihadapkan ke muka keadilan.

Empat pakar yang menandatangani kenyataan bersama itu ialah Ben Saul, Pelapor Khas PBB mengenai perlindungan hak asasi manusia dalam usaha memerangi keganasan; George Katrougalos, pakar PBB mengenai promosi susunan antarabangsa yang demokratik dan saksama; pakar pembangunan Surya Deva; serta Gina Romero, Pelapor Khas PBB mengenai hak kebebasan berhimpun secara aman dan berpersatuan.-The Merdeka Times

Please follow and like us:
error20
fb-share-icon0
Tweet 20
fb-share-icon20

Author