Terkini
UEC tidak akan diiktiraf selagi tidak tepati aspirasi nasional – Mohamad Hasan
- “Selagi tiada usaha mereformasi UEC agar diharmonikan dengan aspirasi nasional, maka ia akan kekal sebagai sistem yang tidak setara dengan sistem pendidikan kebangsaan dan tidak perlu diiktiraf dengan selayaknya,”- Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan
- Beliau menegaskan bahawa sebagai sebuah negara berdaulat, sistem pendidikan perlu dibina berlandaskan aspirasi negara yang merangkumi misi, nilai, kepentingan serta cita-cita nasional.
- Jelasnya, tidak wajar jika kerajaan dipaksa mengiktiraf atau menyamaratakan kelayakan tersebut kerana ia tidak direka untuk memupuk identiti dan keunikan pendidikan nasional.
KUALA LUMPUR – Kerajaan tidak mempunyai halangan terhadap pelaksanaan sijil Unified Examination Certificate (UEC), namun pengiktirafan rasmi terhadap kelayakan itu hanya boleh dipertimbangkan jika ia memenuhi ciri-ciri pendidikan nasional, tegas Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan.
Beliau menegaskan bahawa sebagai sebuah negara berdaulat, sistem pendidikan perlu dibina berlandaskan aspirasi negara yang merangkumi misi, nilai, kepentingan serta cita-cita nasional.
Katanya, unsur terpenting dalam pembinaan identiti kebangsaan ialah pelaksanaan pendidikan dalam bahasa kebangsaan sebagai bahasa ilmu utama.
Menurut Mohamad, meskipun kerajaan meraikan kepelbagaian budaya dan tidak pernah menghalang Dong Zong melaksanakan UEC sejak 1975, isu sebenar yang timbul bukanlah pelaksanaannya, tetapi pengiktirafan terhadap sijil tersebut.
“Kerajaan tidak ada masalah mengiktiraf jika ia dilaksanakan dalam bahasa kebangsaan dan digubal menepati aspirasi nasional. Selagi ia tidak menepati ciri tersebut, maka ia tidak boleh disetarakan dengan kelayakan nasional,” katanya.
Beliau menambah bahawa usaha mengukuhkan perpaduan nasional dalam negara berbilang kaum bukanlah tugas mudah, dan pendidikan dalam bahasa kebangsaan dengan kurikulum berasaskan kearifan tempatan merupakan satu-satunya jalan untuk membina identiti nasional yang kukuh.
Namun, katanya, kurikulum kebangsaan tetap direka agar selari dengan standard antarabangsa.
Mohamad menegaskan bahawa pendidikan tidak seharusnya dipolitikkan, sebaliknya menjadi ruang untuk pelajar pelbagai kaum belajar bekerjasama dan memupuk semangat muhibah.
Bagi mereka yang tidak bersetuju dengan misi pendidikan nasional, beliau menegaskan bahawa mereka bebas memilih sistem UEC tanpa sebarang halangan daripada kerajaan.
Bagaimanapun, jelasnya, tidak wajar jika kerajaan dipaksa mengiktiraf atau menyamaratakan kelayakan tersebut kerana ia tidak direka untuk memupuk identiti dan keunikan pendidikan nasional.
Beliau turut memaklumkan bahawa bagi tujuan kemasukan ke universiti, UEC memang diterima di banyak institusi dalam dan luar negara.
“Selagi tiada usaha mereformasi UEC agar diharmonikan dengan aspirasi nasional, maka ia akan kekal sebagai sistem yang tidak setara dengan sistem pendidikan kebangsaan dan tidak perlu diiktiraf dengan selayaknya,” katanya.-The Merdeka Times