Connect with us

Antarabangsa

Kontroversi kasta: Pekerja RSS dipulau hanya sebab hadiri jamuan Dalit

Published

on

Foto: Bharat Raj Dhakad bersama dua individu lain Manoj Patel dan guru sekolah Satyendra Raghuvanshi.

  • Seorang pekerja pertubuhan nasionalis Hindu,  Rashtriya Swayamsevak Sangh (RSS) mendakwa beliau dan keluarganya dipulau serta dihina oleh penduduk kampung selepas menghadiri jamuan kematian di rumah sebuah keluarga Dalit di daerah Raisen, India.
  • Majlis kampung memutuskan bahawa makan di rumah keluarga Valmiki adalah satu “dosa” dan mengarahkan mereka bertiga menjalani upacara “penyucian”, termasuk mandi di Sungai Ganga serta menganjurkan kenduri masyarakat sebagai bentuk penebusan.

MADHYA PRADESH – Seorang pekerja pertubuhan nasionalis Hindu,  Rashtriya Swayamsevak Sangh (RSS) mendakwa beliau dan keluarganya dipulau serta dihina oleh penduduk kampung selepas menghadiri jamuan kematian di rumah sebuah keluarga Dalit di daerah Raisen, India.

Individu tersebut, Bharat Raj Dhakad dari kampung Piparia Puaría, membawa isu itu secara terbuka ketika sesi pendengaran bersama Pegawai Daerah, Arun Kumar Vishwakarma, dengan menyatakan bahawa tekanan bermula selepas video lawatannya ke rumah keluarga Dalit itu tular di kampung.

Menurut Dhakad, beliau bersama dua individu lain Manoj Patel dan guru sekolah Satyendra Raghuvanshi telah pergi ke rumah Santosh Parole bulan lalu untuk menghadiri jamuan selepas kematian.

Namun selepas video tersebut tersebar, sekumpulan penduduk berpengaruh dikatakan mengadakan mesyuarat. Dalam mesyuarat itu, Dhakad mendakwa majlis kampung memutuskan bahawa makan di rumah keluarga Valmiki adalah satu “dosa” dan mengarahkan mereka bertiga menjalani upacara “penyucian”, termasuk mandi di Sungai Ganga serta menganjurkan kenduri masyarakat sebagai bentuk penebusan.

Dhakad memberitahu pihak berkuasa bahawa dua rakannya akur akibat tekanan, namun beliau menolak arahan tersebut, menyifatkannya sebagai tidak sah dan bersifat diskriminasi.

Beliau berkata sebagai anggota RSS, beliau menolak konsep ketidaksentuhan (untouchability) dan tidak boleh menerima keputusan majlis kampung itu.

Selepas enggan mematuhi tuntutan tersebut, Dhakad mendakwa seluruh keluarganya kini dipulaukan. Ayahnya, Niranjan Singh, tidak lagi dijemput ke majlis masyarakat, penduduk kampung berhenti bertegur sapa, dan mereka sekeluarga berdepan permusuhan setiap hari.

Dhakad menambah bahawa aduan terdahulu yang dibuat kepada SDM serta polis tempatan diabaikan, menyebabkan beliau terpaksa memfailkan permohonan baharu bagi mendapatkan tindakan segera.

Kes ini turut menarik perhatian kerana kawasan tersebut berada di bawah kawasan pilihan raya Menteri Negara (Tugas Khas) Narendra Shivaji Patel, yang baru-baru ini sendiri melawat rumah keluarga Dalit dalam usaha memupuk keharmonian sosial.

Dhakad berhujah bahawa meskipun terdapat usaha simbolik pemimpin politik, sikap kasta yang tegar dalam masyarakat kampung masih tidak berubah.

Pegawai Daerah Vishwakarma melahirkan rasa tidak puas hati terhadap dakwaan tersebut dan telah mengarahkan satu siasatan rasmi dijalankan. -The Merdeka Times

Please follow and like us:
error20
fb-share-icon0
Tweet 20
fb-share-icon20

Author