Antarabangsa
Musim sejuk Gaza ragut nyawa bayi, Sekatan Israel burukkan krisis
- Rahaf Abu Jazar, lapan bulan dilaporkan maut akibat kesejukan melampau di Khan Younis setelah wilayah Gaza dilanda hujan berterusan, angin kencang dan suhu yang menjunam ketika ribut musim sejuk melanda.
- Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) sebelum ini memaklumkan bahawa sekatan Israel menghalang kemasukan barangan penting termasuk khemah, kayu, palang sokongan dan peralatan pembinaan.
- Jurucakap Setiausaha Agung PBB, Stephane Dujarric, berkata hampir 4,000 palet bahan perlindungan ditolak oleh pihak Israel, menjadikan persediaan menghadapi banjir hampir mustahil.
GAZA – Seorang bayi perempuan berusia lapan bulan, Rahaf Abu Jazar, dilaporkan maut akibat kesejukan melampau di Khan Younis setelah wilayah Gaza dilanda hujan berterusan, angin kencang dan suhu yang menjunam ketika ribut musim sejuk melanda.
Kematian tragis itu berlaku ketika ribuan keluarga Palestin terus berlindung dalam khemah yang dibanjiri air akibat sekatan Israel dan infrastruktur yang hancur.
Sumber perubatan mengesahkan Rahaf meninggal dunia pada awal pagi Khamis selepas beberapa hari berdepan cuaca ekstrem. Keadaan itu diburukkan lagi dengan hujan lebat yang menenggelamkan khemah pelarian di seluruh selatan Gaza, menyebabkan tilam, selimut serta barangan peribadi penduduk basah dan rosak.
Jabatan Meteorologi Palestin memberi amaran bahawa tiga hari ribut petir dan cuaca sejuk bermula Rabu dijangka membawa banjir kilat, angin kencang serta hujan batu di beberapa kawasan. Ribut Byron yang melanda sejak pertengahan minggu telah menenggelamkan puluhan ribu khemah dan menggandakan risiko bencana kemanusiaan.
Pejabat Media Kerajaan Gaza merayu tindakan segera komuniti antarabangsa bagi menyelamatkan realiti kemanusiaan yang semakin teruk sambil memberi amaran bahawa ribut ini boleh memusnahkan khemah-khemah pelarian yang langsung tidak mampu menahan cuaca sejuk.
Pasukan Pertahanan Awam Palestin pada Khamis memindahkan 14 khemah yang ditenggelami air dan membantu kenderaan yang tersangkut di laluan berlumpur.
Majlis Perbandaran Gaza turut menegaskan bahawa kemusnahan infrastruktur akibat perang dua tahun menghalang usaha menyelamat, dengan lebih 85 peratus peralatan tidak lagi berfungsi.
Datuk Bandar Gaza, Yahya al-Sarraj, berkata pihaknya bergantung sepenuhnya kepada peralatan disewa dari sektor swasta yang juga tidak sesuai untuk menghadapi ribut kuat ini.
Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) sebelum ini memaklumkan bahawa sekatan Israel menghalang kemasukan barangan penting termasuk khemah, kayu, palang sokongan dan peralatan pembinaan.
Jurucakap Setiausaha Agung PBB, Stephane Dujarric, berkata hampir 4,000 palet bahan perlindungan ditolak oleh pihak Israel, menjadikan persediaan menghadapi banjir hampir mustahil.
Agensi kemanusiaan memberi amaran bahawa ini merupakan musim sejuk ketiga yang terpaksa dihadapi penduduk Gaza dalam keadaan perpindahan paksa, dengan hampir keseluruhan penduduk kini kehilangan tempat tinggal. UNRWA melaporkan risiko penyakit meningkat mendadak apabila khemah menjadi sejuk, sesak dan tidak sanitari, manakala hampir 850,000 pelarian berada di kawasan paling berisiko banjir.
Dalam kenyataan terbaharu, Pelapor Khas PBB, Francesca Albanese, menyifatkan situasi di Gaza sebagai mimpi ngeri yang tidak berkesudahan, dengan rakyat Palestin dibiarkan kebuluran dan terdedah kepada cuaca ekstrem tanpa perlindungan asas.-The Merdeka Times