Antarabangsa
Sekolah di Texas disiasat gara-gara buang buku LGBT dari perpustakaan sekolah
Bahagian penguatkuasaan hak sivil Jabatan Pendidikan Amerika Syarikat (AS) melancarkan penyiasatan ke atas sebuah sekolah di Texas Utara kerana penguasanya didakwa mengarahkan pustakawan untuk mengalih keluar buku-buku bertema LGBTQ dari perpustakaan secara rahsia.
- Penguasa Granbury Independent School District, Jeremy Glenn, dilaporkan mengarahkan pustakawan untuk mengalih keluar buku yang berkaitan dengan orientasi seksual dan transgender pada Januari.
- “Saya tidak mempunyai sebarang masalah dengan kepercayaan mereka, tetapi tidak ada tempat untuknya di perpustakaan kita,” kata Penguasa Granbury Independent School District, Jeremy Glenn.
- American Civil Liberties Union (ACLU) Texas membuat aduan meminta agar hal itu disiasat bahagian penguatkuasaan hak sivil Jabatan Pendidikan Amerika Syarikat (AS).
- Tajuk IX Pindaan Pendidikan 1972 melarang sekolah daripada mendiskriminasi jantina dan orientasi seksual – Jurucakap Jabatan Pendidikan AS.
Bahagian penguatkuasaan hak sivil Jabatan Pendidikan Amerika Syarikat (AS) melancarkan penyiasatan ke atas sebuah sekolah di Texas Utara kerana penguasanya didakwa mengarahkan pustakawan untuk mengalih keluar buku-buku bertema LGBTQ dari perpustakaan secara rahsia.
Memetik laporan NBC, Penguasa Granbury Independent School District, Jeremy Glenn dilaporkan mengarahkan pustakawan untuk mengalih keluar buku yang berkaitan dengan orientasi seksual dan transgender pada Januari lalu.
“Saya mengakui bahawa ada lelaki yang menganggap mereka wanita dan ada wanita yang menganggap mereka lelaki.
“Saya tidak mempunyai sebarang masalah dengan kepercayaan mereka, tetapi tidak ada tempat untuknya di perpustakaan kita,” kata Jeremy kepada pustakawan dalam satu rakaman bocor yang diperoleh, disahkan dan diterbitkan secara eksklusif oleh agensi berita.
Kemudian, Jeremy menjelaskan dia menumpukan secara khusus untuk mengeluarkan buku mengenai transgender, LGBTQ dan seksualiti.
Susulan itu, American Civil Liberties Union (ACLU) Texas membuat aduan meminta agar hal itu disiasat segera.
Seorang peguam ACLU, Chloe Kempf berkata keputusan Jabatan Pendidikan untuk membuat siasatan menandakan agensi itu bimbang dengan “gelombang” dasar anti-LGBTQ dan penyingkiran buku secara nasional.
Jurucakap Jabatan Pendidikan mengesahkan siasatan itu dan berkata ia berkaitan dengan Tajuk IX Pindaan Pendidikan 1972, yang melarang sekolah daripada mendiskriminasi jantina dan orientasi seksual.
Pejabat Hak Sivil pula belum memberi ulasan kerana siasatan masih belum selesai.
Jika hasil siasatan mengesahkan berlaku pelanggaran hak pelajar di sekolah Granbury, agensi itu boleh meminta sekolah itu membuat perubahan dasar dan menyerahkan mereka kepada pemantauan persekutuan.
Sumber: NBC