Connect with us

Antarabangsa

Generasi skrin? Pakar bimbang fokus kanak-kanak semakin merosot

Published

on

Foto: Gambar Sekadar Hiasan.

  • Perubahan ketara dalam tabiat membaca kanak-kanak di seluruh dunia semakin membimbangkan golongan pendidik, penulis dan pakar media, yang menegaskan bahawa tempoh perhatian (attention span) semakin merosot akibat lambakan kandungan digital yang pantas.
  • Michael Milo, pengasas Muslim Kids menegaskan kanak-kanak yang diperkenalkan kepada kandungan yang lebih perlahan dan berkualiti sejak kecil mampu menyesuaikan diri dengan baik, berbanding mereka yang terlalu awal didedahkan kepada kandungan berlebihan dan merangsang secara berlebihan.
  • “Jika terlalu awal terdedah kepada media yang memudaratkan atau terlalu laju, lebih sukar untuk mereka menyesuaikan diri kemudian,”katanya.

ISTANBUL – Perubahan ketara dalam tabiat membaca kanak-kanak di seluruh dunia semakin membimbangkan golongan pendidik, penulis dan pakar media, yang menegaskan bahawa tempoh perhatian (attention span) semakin merosot akibat lambakan kandungan digital yang pantas dan tidak berhubung secara mendalam dengan proses pembelajaran.

Isu tersebut menjadi tumpuan perbincangan di TRT International Children’s Media Summit 2025 yang berlangsung di Istanbul pada Sabtu, di mana pakar global berkongsi pandangan kepada Anadolu mengenai tekanan yang diletakkan oleh platform digital terhadap kemahiran membaca mendalamnserta tanggungjawab yang perlu dipikul keluarga, pendidik dan industri media.

Ahli psikologi dan pakar teknologi, Warren Buckleitner, berkata bahawa kanak-kanak hari ini membesar dalam persekitaran media yang belum pernah wujud sebelum ini yang dipenuhi pilihan tanpa had dan rangsangan berterusan.

“Kanak-kanak sekarang hidup dalam dunia seperti taman tema di halaman rumah mereka, kandungan sentiasa ada dan jarang ditapis,”katanya.

Menurut Buckleitner, generasi dahulu mempunyai pilihan terhad seperti televisyen, namun ledakan kandungan kini memerlukan penglibatan orang dewasa yang lebih aktif.

“Seseorang perlu memilih dan memastikan masa kanak-kanak yang sangat terhad itu digunakan dengan kandungan yang sesuai perkembangan mereka,” katanya sambil menegaskan bahawa menyerahkan tablet sahaja tidak mencukupi.

Beliau juga percaya teknologi termasuk kecerdasan buatan (AI) mampu menjadi sebahagian daripada penyelesaian sekiranya digunakan secara bertanggungjawab.

“AI boleh membantu menyesuaikan kurikulum mengikut keperluan kanak-kanak,”katanya membayangkan masa depan di mana pembelajaran menjadi lebih menarik tanpa mengorbankan kedalaman.

Namun, Buckleitner memberi amaran bahawa model ekonomi berasaskan tontonan dan keuntungan sering bercanggah dengan kepentingan kanak-kanak.

“Masalah terbesar ialah model ekonomi. Kandungan didorong oleh jumlah tontonan, bukan nilai pembangunan,”tegasnya.

Michael Milo, pengasas Muslim Kids, turut melahirkan kebimbangan bahawa kandungan ringkas berasaskan algoritma boleh melemahkan kemampuan fokus kanak-kanak jika keluarga tidak bertindak awal.

“Dalam media digital ada baiknya dan ada buruknya. Kita perlu berusaha keras untuk mengeluarkan yang baik dan meminimumkan yang buruk,” katanya.

Menurut Milo membaca tradisional, aktiviti luar, dan penglibatan keluarga kekal penting dalam perkembangan kanak-kanak.

Beliau menegaskan bahawa kanak-kanak yang diperkenalkan kepada kandungan yang lebih perlahan dan berkualiti sejak kecil mampu menyesuaikan diri dengan baik, berbanding mereka yang terlalu awal didedahkan kepada kandungan berlebihan dan merangsang secara berlebihan.

“Jika terlalu awal terdedah kepada media yang memudaratkan atau terlalu laju, lebih sukar untuk mereka menyesuaikan diri kemudian,”katanya.

Kedua-dua pakar turut mengulas peraturan baharu yang sedang dibincangkan di negara seperti Australia dan Türkiye. Milo berkata regulasi ketat mungkin diperlukan apabila industri media gagal mengawal selia sendiri.

“Syarikat media besar tidak mengawal diri mereka. Mereka didorong keuntungan,”katanya sambil menambah bahawa banyak keluarga dan kanak-kanak tidak mampu membuat keputusan bermaklumat ketika berada dalam talian.-The Merdeka Times

Please follow and like us:
error20
fb-share-icon0
Tweet 20
fb-share-icon20

Author