Terkini
Kerajaan digesa cermat tangani isu tanah 999 tahun, UEC, PASTI, SRITI
Kerajaan campuran hari ini digesa bertindak dengan cermat bagi menyelesaikan isu berbaur perkauman yang dibangkitkan.
- Pesuruhjaya PAS Perak, Razman Zakaria menggesa kerajaan campuran hari ini untuk menangani isu berbaur perkauman dengan cermat.
- Antaranya, isu pajakan tanah 999 tahun kepada kampung-kampung baru yang dibangkitkan DAP Perak.
- Selain itu, desakan Dong Zong mengenai tuntutan pengiktirafan Sijil UEC, sekolah PASTI dan SRITI.
- “Saya mencadangkan agar sebarang tuntutan dan ucapan yang berbentuk perkauman, kerajaan perlu tangani dengan cermat supaya tidak mengguris mana-mana kaum,” kata Razman.
KUALA LUMPUR – Kerajaan campuran hari ini digesa bertindak dengan cermat bagi menyelesaikan isu berbaur perkauman yang dibangkitkan.
Antaranya, isu pajakan tanah 999 tahun kepada kampung-kampung baru yang dibangkitkan DAP Perak.
Selain itu, desakan Persatuan Pengarah Sekolah Cina di Malaysia (Dong Zong) mengenai tuntutan pengiktirafan Sijil Unified Examination Independent Chinese Secondary (UEC).
Pesuruhjaya PAS Perak, Razman Zakaria berkata Perak antara negeri yang banyak mengeluarkan pelajar lulusan Sijil Peperiksaan Bersama Sekolah Menengah Cina Bebas itu.
“Ini kerana pengiktirafan Sijil UEC tidak adil kepada mereka yang sedang dan telah mengikuti sistem pendidikan kebangsaan yang sedia ada.
“Pelaksanaan sistem ini dibimbangi akan mewujudkan dwi-standard dalam sistem pendidikan negara dan boleh menghakis identiti kebangsaan di Malaysia.
“Pengiktirafan UEC juga tidak selaras dengan dengan Akta Pendidikan 1996, Falsafah Pendidikan Kebangsaan dan Kurikulum Kebangsaan,” katanya dalam hantaran Facebook hari ini.
Dakwaan terhadap Pusat Asuhan Tunas Islam (PASTI) dan Sekolah Rendah Integrasi Teras Islam (SRITI) juga antara intipati yang diketengahkan Razman.
Menyangkal tuduhan itu, ujarnya, tidak wujud isu penerapan nilai ekstremisme dalam kalangan murid-murid PASTI dan SRITI.
“Disebabkan Perak adalah pencetus kepada politik baharu, saya mencadangkan supaya sebarang tuntutan, tindakan dan ucapan yang berbentuk perkauman atau menyentuh sensitiviti mana-mana kaum, kerajaan perlu tangani dengan cermat supaya tidak mengguris mana-mana kaum,” katanya. – The Merdeka Times
Sumber: Facebook Haji Razman Zakaria