Antarabangsa
Ahli geng biker Anti-Islam Amerika jadi pengawal bersenjata di tapak bantuan Gaza
- Siasatan BBC mendedahkan firma keselamatan swasta Amerika Syarikat, UG Solutions (UGS), menggunakan ahli geng motosikal anti-Islam, Infidels Motorcycle Club (Infidels MC), untuk mengawal tapak pengagihan bantuan di Gaza.
- Infidels MC ditubuhkan pada 2006 oleh veteran perang Iraq dan menggunakan simbol salib Perang Salib sebagai lambang.
- Kelab itu terkenal dengan retorik anti-Muslim, termasuk menganjurkan jamuan babi semasa Ramadan dan menyebarkan ucapan kebencian di laman Facebook mereka.
- “Menyerahkan tugas keselamatan bantuan di Gaza kepada Infidels ibarat menyerahkan tugas kemanusiaan di Sudan kepada KKK. Ia jelas membawa kepada keganasan,” Timbalan Pengarah Eksekutif CAIR, Edward Ahmed Mitchell.
GAZA – Siasatan BBC mendedahkan firma keselamatan swasta Amerika Syarikat, UG Solutions (UGS), menggunakan ahli geng motosikal anti-Islam, Infidels Motorcycle Club (Infidels MC), untuk mengawal tapak pengagihan bantuan di Gaza yang menyaksikan ratusan orang awam terbunuh akibat kekecohan dan tembakan.
BBC mengesahkan identiti 10 ahli Infidels MC bekerja dengan UGS di tapak Yayasan Kemanusiaan Gaza (GHF), termasuk tujuh orang memegang jawatan kanan dalam operasi tersebut yang disokong Israel dan bekas Presiden AS, Donald Trump.
Infidels MC ditubuhkan pada 2006 oleh veteran perang Iraq dan menggunakan simbol salib Perang Salib sebagai lambang.
Kelab itu terkenal dengan retorik anti-Muslim, termasuk menganjurkan jamuan babi semasa Ramadan dan menyebarkan ucapan kebencian di laman Facebook mereka.
Antara yang terlibat ialah ketua kumpulan Johnny “Taz” Mulford, bekas sarjan tentera AS yang pernah dihukum atas kes konspirasi rasuah dan kini mengetuai kontrak UGS di Gaza. Beliau merekrut sekurang-kurangnya 40 ahli Infidels MC daripada 320 kakitangan keselamatan yang ditempatkan di Gaza.
Tiga tokoh utama geng itu juga memegang jawatan kanan di lapangan: Larry “J-Rod” Jarrett sebagai ketua logistik, Bill “Saint” Siebe mengetuai pasukan keselamatan di salah satu tapak GHF, dan pengasas Richard “A-Tracker” Lofton sebagai ketua pasukan di lokasi lain.
Pertubuhan hak sivil Muslim Amerika, CAIR, mengecam keras penglibatan Infidels MC.
“Menyerahkan tugas keselamatan bantuan di Gaza kepada Infidels ibarat menyerahkan tugas kemanusiaan di Sudan kepada KKK. Ia jelas membawa kepada keganasan,” kata Timbalan Pengarah Eksekutifnya, Edward Ahmed Mitchell.
Sehingga 2 September, Pejabat PBB bagi Hal Ehwal Kemanusiaan (OCHA) melaporkan 1,135 orang awam termasuk wanita dan kanak-kanak terbunuh berhampiran tapak GHF ketika cuba mendapatkan makanan. Kebanyakan kematian dilaporkan akibat tembakan pasukan keselamatan Israel.
UGS menafikan dakwaan pekerjanya melepaskan tembakan ke arah orang awam, namun mengaku ada menggunakan “tembakan amaran” bagi menyuraikan orang ramai.
Syarikat itu mempertahankan Johnny Mulford sebagai “tokoh dipercayai” dengan pengalaman lebih 30 tahun dalam operasi keselamatan global.
GHF pula menegaskan pihaknya mengamalkan dasar sifar toleransi terhadap sikap kebencian dan mendakwa pasukan mereka terdiri daripada pelbagai latar belakang bagi membina kepercayaan dengan rakyat Gaza.-The Merdeka Times