Antarabangsa
Charlie Kirk terbunuh di Kampus Utah: Dari retorik Pro-Israel ke kematian tragis
WASHINGTON – Kematian Charlie Kirk, aktivis konservatif kanan Amerika Syarikat dan pengasas Turning Point USA mencetuskan semula perdebatan mengenai pendiriannya yang lantang menyokong Israel, khususnya dalam isu Palestin dan Gaza.
Beliau pernah menolak tuduhan bahawa Israel sengaja menahan bantuan makanan daripada memasuki Gaza, dengan menyifatkannya sebagai propaganda.
“Terdapat kempen propaganda besar-besaran yang cuba menampakkan seolah-olah Israel sengaja melaparkan rakyat Gaza.,” katanya dalam siaran Facebook pada 2024.
Dalam kenyataan lain, Kirk turut melabel Gaza sebagai “sarang pengganas” dan menuding sepenuhnya kepada Hamas.
“Gaza telah menjadi lubuk bagi pengganas, dan Hamas yang harus dipersalahkan!” tulisnya di laman Turning Point USA.
“Saya sangat pro-Israel, saya seorang Kristian Evangelikal.. sepanjang hidup saya, saya telah mempertahankan Israel,” tegasnya dalam wawancara bersama Jewish Telegraphic Agency (JTA).
Pendirian pro-Israel ini sering mengundang kritikan kerana dianggap mengabaikan penderitaan awam Palestin. Namun, bagi penyokongnya, Kirk dilihat sebagai simbol generasi konservatif muda yang berani bersuara.
Kirk, 31, yang dikenali sebagai sekutu rapat bekas Presiden Donald Trump, ditembak dari jarak lebih 60 meter ketika menyertai acara The American Comeback Tour.
Beliau terkena tembakan di bahagian leher sebelum dikejarkan ke hospital dan disahkan meninggal dunia.
Pihak berkuasa mengesahkan tiada suspek utama ditahan setakat ini, walaupun dua individu yang pernah ditahan telah dibebaskan selepas soal siasat. Gabenor Utah, Spencer Cox, menyifatkan insiden itu sebagai satu bentuk pembunuhan politik.
Manakala Trump mengarahkan bendera Amerika dikibarkan separuh tiang sehingga Ahad ini.
Insiden tembakan yang meragut nyawanya kini menambah bab tragis dalam sejarah politik Amerika yang kian sarat dengan polarisasi dan keganasan.-The Merdeka Times