Antarabangsa
(VIDEO) Kapal Global Sumud Flotilla diserang dron di Perairan Tunisia
TUNISIA – Salah sebuah kapal utama misi Global Sumud Flotilla (GSF) yang dikenali sebagai “Family Boat” dilaporkan terkena serangan dipercayai dilakukan menggunakan dron berhampiran perairan Tunisia, menurut penganjur konvoi berkenaan.
Dalam kenyataan yang dimuat naik ke platform Instagram, GSF memaklumkan kapal berdaftar di bawah bendera Portugal itu membawa anggota Jawatankuasa Pemandu GSF termasuk aktivis antarabangsa.
“Semua penumpang dan kru berada dalam keadaan selamat. Siasatan sedang dijalankan dan maklumat lanjut akan dimaklumkan sebaik sahaja diperoleh,” kata kenyataan itu pada lewat Isnin.
GSF menegaskan tindakan agresif untuk mengugut dan menggagalkan misi mereka tidak akan mematahkan semangat.
“Misi damai kami untuk memecahkan kepungan ke atas Gaza serta menyatakan solidariti terhadap rakyatnya akan diteruskan dengan tekad dan keteguhan,” jelas kenyataan tersebut.
Seorang anggota jawatankuasa, Acar, dalam mesej video turut menyatakan bahawa sebuah dron terbang tepat di atas kapal, melepaskan bom yang meletup sehingga menyebabkan kebakaran di atas kapal.
Flotilla berkenaan dinamakan “Sumud”, perkataan Arab yang membawa maksud ketabahan, melibatkan sekitar 20 kapal dengan penyertaan kira-kira 150 aktivis antarabangsa termasuk doktor, wartawan serta pejuang hak asasi dari Tunisia, Turkiye, Eropah, Afrika dan Asia.
Konvoi itu berlepas dari Barcelona pada hujung Ogos lalu, manakala kumpulan lain berlayar dari Genoa, Itali.
Kapal-kapal tersebut dijadualkan berangkat dari Tunisia menuju ke Gaza pada Rabu ini.
Misi GSF sekali lagi menarik perhatian dunia kerana cuba menembusi sekatan Israel terhadap Gaza yang berlanjutan lebih sedekad, dengan membawa mesej kemanusiaan serta solidariti global.-The Merdeka Times