Antarabangsa
Umat Islam lemah, Zionis berterusan bunuh Palestin – AMANAH
- Menurut Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH), Mohamad Sabu, keadaan lebih mendukacitakan apabila beberapa negara Arab Teluk dan negara Islam yang menjadi anggota NATO terus menjalinkan hubungan dagang serta diplomatik dengan Israel, malah membekalkan keperluan yang secara tidak langsung memperkukuh kedudukan Zionis.
- “Ironinya, ada ketikanya mereka boleh bersatu menyerang Yaman, tetapi gagal bersatu untuk berdepan dengan Israel yang didukung oleh kuasa besar Amerika Syarikat dan Eropah,” tegas beliau.
KUALA LUMPUR – Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH), Mohamad Sabu, menyifatkan kekejaman berterusan rejim Zionis Israel terhadap rakyat Palestin sebagai bukti kelemahan umat Islam, khususnya negara-negara Arab dan Islam yang masih gagal bersatu menentang kezaliman.
Beliau berkata serangan tanpa henti Israel yang menyasarkan hospital, masjid, gereja dan orang awam yang mencari bantuan makanan jelas menunjukkan sifat kebinatangan rejim Zionis yang tidak lagi mengenal nilai kemanusiaan.
“Al-Quran telah lama mengingatkan tentang sifat pengkhianatan Zionis yang tidak pernah setia dengan perjanjian,” katanya dalam kenyataan di laman Facebook rasmi AMANAH, hari ini.
Menurut Mohamad, keadaan lebih mendukacitakan apabila beberapa negara Arab Teluk dan negara Islam yang menjadi anggota NATO terus menjalinkan hubungan dagang serta diplomatik dengan Israel, malah membekalkan keperluan yang secara tidak langsung memperkukuh kedudukan Zionis.
“Ironinya, ada ketikanya mereka boleh bersatu menyerang Yaman, tetapi gagal bersatu untuk berdepan dengan Israel yang didukung oleh kuasa besar Amerika Syarikat dan Eropah,” tegas beliau.
Mohamad turut menzahirkan penghargaan kepada masyarakat antarabangsa, termasuk rakyat Eropah dan kelompok bukan Islam, yang dilihat lebih konsisten membela hak asasi Palestin berbanding sebahagian negara Islam yang hanya mengecam di pentas diplomatik namun masih akrab dengan Israel.
Sehubungan itu, beliau menyeru agar negara-negara Islam, khususnya Arab Teluk dan anggota NATO, tampil berani dan bersatu dalam menentang Zionis.
“Jangan biarkan hanya segelintir pihak seperti Iran dan Yaman yang menanggung beban perjuangan menentang Zionis. AMANAH akan terus berdiri teguh bersama rakyat Palestin, bersama suara kebenaran, dan bersama seluruh bangsa yang menentang kezaliman. Inilah tuntutan agama dan inilah tuntutan kemanusiaan,” katanya. -The Merdeka Times