Connect with us

Antarabangsa

Ramai tunai umrah asbab Piala Dunia Qatar 2022

Berbekalkan kad wajib Hayya, ramai pelawat Piala Dunia 2022 mengambil kesempatan di atas skim kerajaan Saudi yang membenarkan ziarah ke kota suci Mekah, demikian lapor TRT World.

WhatsApp
Facebook0
Twitter
Wartawan TMT

Published

on

Ramai tunai umrah asbab Piala Dunia Qatar 2022
Foto: Gambar sekadar hiasan.
  • Ramai Muslim yang melawat Qatar sempena Piala Dunia 2022 turut menunaikan umrah menggunakan kad Hayya yang membenarkan kemasukan ke Arab Saudi bebas visa.
  • Untuk memperoleh kad Hayya, sekurang-kurangnya satu tiket perlawanan Piala Dunia diperlukan sebagai prasyarat.
  • Anggaran kos dapat dikurangkan sehingga separuh berbanding menggunakan khidmat agensi umrah. – Mohammed Abdullah, warga Algeria.
  • “Tetapi menunaikan umrah dengan begitu mudah dan mesra bajet mengatasi segala-galanya. Ia adalah peluang sekali dalam seumur hidup”. – Ahashanuzzaman Shujan, warga Bangladesh.

 

Berbekalkan kad wajib Hayya, ramai pelawat Piala Dunia 2022 mengambil kesempatan di atas skim kerajaan Saudi yang membenarkan ziarah ke kota suci Mekah, demikian lapor TRT World.

Mohammed Abdullah, 29, memutuskan untuk pergi ke Qatar dari kampung halamannya di Sidi Bel Abbès, barat laut Algeria pada awal November lalu.

Walaupun dia membeli tiket ke Piala Dunia Qatar 2022, dia tidak menghadiri acara sukan itu. Sebaliknya, dia langsung ke Mekah.

“Matlamat saya adalah untuk ke Arab Saudi melalui Qatar dan menunaikan umrah. Saya menyimpan hasrat itu sejak hari pertama saya mendapat tahu Arab Saudi menawarkan visa ziarah umrah percuma kepada pemegang kad Hayya,” katanya.

Abdullah juga menjelaskan kos melalui agensi ziarah umrah di Algeria boleh menelan paling kurang sekitar $1,000 (RM4,406), tidak termasuk perbelanjaan makanan dan lain-lain.

Namun dengan kad Hayya, jumlah anggaran kos adalah kira-kira $500 (RM2,203) sahaja.

“Perjalanan itu tidak mudah dengan bajet yang kecil, tetapi hasilnya menakjubkan,” katanya.

Ahashanuzzaman Shujan, warga Bangladesh juga turut menunaikan umrah semasa berada di Qatar untuk Piala Dunia menggunakan kad Hayya.

Menurutnya, perjalanan mengambil masa sehingga dua jam dengan penerbangan dan 14 jam melalui jalan raya untuk sampai ke Arab Saudi dari Qatar.

Kos menunaikan umrah dari Bangladesh mencecah $2,400 (RM10,574.40).

Tetapi dia hanya membayar $150 (RM660.90) untuk ibadah itu, tidak termasuk tambang penerbangan dari Doha ke Jeddah, iaitu kira-kira $200 (RM881.20).

Shujan berkata, “Ia adalah satu perjalanan yang tidak dapat dilupakan. Saya dapat menyaksikan Piala Dunia, menonton perlawanan terbaik dan mengembara dari satu negara timur tengah ke negara lain.

“Tetapi menunaikan umrah dengan begitu mudah dan mesra bajet mengatasi segala-galanya. Ia adalah peluang sekali dalam seumur hidup”.

Visa Hayya sah untuk memasuki kerajaan dan negara Majlis Kerjasama Negara-negara Arab Teluk (GCC) lain dari 11 November hingga 18 Disember depan.

Sekurang-kurangnya satu tiket perlawanan Piala Dunia adalah prasyarat untuk memperoleh kad Hayya.

Dengan kad itu, kemasukan ke Qatar, Arab Saudi, Oman dan Emiriah Arab Bersatu adalah bebas visa.

Selain itu, ia juga membenarkan pelawat masuk ke stadium dan akses percuma ke perkhidmatan pengangkutan metro dan bas pada hari perlawanan.

Sumber: TRT World

Author

Teruskan Membaca

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *