Terkini
RUU PSB: Bukan sekadar bandar, Kampung juga terancam – ADUN Semenyih
- Nushi Mahfodz berkata beberapa peruntukan dalam RUU tersebut memberi kuasa luas kepada kerajaan dan pemaju untuk mengambilalih rumah rakyat, termasuk di luar bandar.
- Merujuk Fasal 19(1)(b)(ii), beliau mendakwa rumah berusia lebih 30 tahun tetap boleh diambil secara paksa sekiranya 75 peratus jiran bersetuju dengan cadangan pembangunan semula, meskipun ada pemilik yang tidak bersetuju menjual.
- Beliau turut merujuk kepada Fasal 21(1) yang dikatakan memberi kuasa kepada Menteri untuk mengisytiharkan mana-mana kawasan sebagai kawasan pembaharuan semula bandar.
KUALA LUMPUR — Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semenyih mendakwa Rang Undang-Undang (RUU) Pembaharuan Semula Bandar 2025 (PSB) atau URA yang dibentangkan untuk bacaan kali pertama di Dewan Rakyat minggu lalu bukan sahaja mengancam kawasan bandar, tetapi juga kampung.
Nushi Mahfodz yang juga Timbalan Ketua Penerangan PN Selangor berkata beberapa peruntukan dalam RUU tersebut memberi kuasa luas kepada kerajaan dan pemaju untuk mengambilalih rumah rakyat, termasuk di luar bandar.
Merujuk Fasal 19(1)(b)(ii), beliau mendakwa rumah berusia lebih 30 tahun tetap boleh diambil secara paksa sekiranya 75 peratus jiran bersetuju dengan cadangan pembangunan semula, meskipun ada pemilik yang tidak bersetuju menjual.
Selain itu, beliau turut merujuk kepada Fasal 21(1) yang dikatakan memberi kuasa kepada Menteri untuk mengisytiharkan mana-mana kawasan sebagai kawasan pembaharuan semula bandar.
“Bukan HANYA BANDAR. Mana-mana kawasan dalam Semenanjung Malaysia dan Labuan termasuk tanah rizab Melayu boleh diisytihar tanpa proses timbang tara bebas.
“Rakyat tidak dapat jaminan terhadap pemilikan sendiri,” katanya dalam kenyataan di Facebook.
Mengulas Fasal 21 (4), Nushi berkata ia memperuntukkan bahawa pemaju yang diluluskan boleh “memindah milik atau mengambil milik mana-mana tanah diberi hakmilik yang terletak di dalam kawasan pembaharuan semula bandar melalui pembelian atau pengambilan paksa di bawah Akta Pengambilan Tanah 1960 [Akta 486].”
Beliau berpendapat peruntukan itu bermakna hak milik peribadi boleh dilucutkan secara paksa dan ‘sah’, serta dalam masa sama tiada mekanisme rayuan bebas dinyatakan dalam RUU tersebut untuk pemilik menentang keputusan berkenaan.
Nushi turut merujuk Fasal 20 (1) yang, menurut beliau akan memberi kuasa kepada jawatankuasa eksekutif persekutuan untuk menentukan pemaju yang layak.
“Tiada jaminan tender terbuka. Pemaju boleh dilantik tanpa penglibatan pemegang taruh termasuk rakyat. Risiko pilih kasih dan monopoli sangat tinggi,” katanya.
Nushi seterusnya membangkitkan Fasal 24 (a) yang menyentuh berkenaan pampasan iaitu “…𝘴𝘶𝘢𝘵𝘶 𝘵𝘢𝘸𝘢𝘳𝘢𝘯 𝘧𝘢𝘦𝘥𝘢𝘩 𝘺𝘢𝘯𝘨 𝘵𝘪𝘥𝘢𝘬 𝘬𝘶𝘳𝘢𝘯𝘨 𝘣𝘢𝘪𝘬𝘯𝘺𝘢 𝘥𝘢𝘳𝘪𝘱𝘢𝘥𝘢 𝘵𝘢𝘸𝘢𝘳𝘢𝘯 𝘧𝘢𝘦𝘥𝘢𝘩 𝘺𝘢𝘯𝘨 𝘬𝘦𝘱𝘢𝘥𝘢𝘯𝘺𝘢 𝘥𝘪𝘢 𝘥𝘪𝘵𝘢𝘸𝘢𝘳𝘬𝘢𝘯…”.
Beliau melihat pernyataan itu sebagai satu bahasa undang-undang yang sengaja dilonggarkan untuk mengelak tanggungjawab, sekali gus tidak menjamin pampasan akan diberikan mengikut harga pasaran atau rumah gantian (1:1) dalam kawasan sama.
Ia dikhuatiri akan menyebabkan pemillik berisiko hilang akses sepenuhnya untuk terus tinggal di bandar hanya kerana tafsiran kabur pemaju dan pihak berkuasa.

Foto: Tangkap layar hantaran Facebook Nushi Mahfodz.
Menyentuh pula Fasal 31, beliau mendakwa klausa itu memberikan pegawai PSB atau URA imuniti fungsional, iaitu perlindungan undang-undang ketika bertindak atas kapasiti rasmi, walaupun tindakan mereka berkemungkinan menjejaskan rakyat, mereka tidak boleh dipertanggungjawabkan secara peribadi.
“Implikasinya, hak rakyat untuk menuntut ganti rugi terhadap pegawai secara langsung menjadi hampir mustahil,” kata Nushi yang menyimpulkan bahawa PSB lebih melindungi struktur kuasa dan pelaksana, bukan pemilik asal.
Beliau mengingatkan agar sebarang pembangunan menghormati tiga perkara asas iaitu hak milik peribadi dan warisan keluarga; proses timbang tara bebas dan telus serta jaminan pampasan yang adil serta setara. — The Merdeka Times