Terkini
DAP berubah jadi MCA 2.0 di bawah Anthony Loke – Bekas Naib Presiden MCA
-
“DAP jadi apa yang pernah mereka hina. Selama puluhan tahun, DAP mengejek MCA sebagai lemah, tunduk kepada UMNO, dan tidak berani bersuara dalam kerajaan Barisan Nasional. DAP menjanjikan diri mereka berbeza — parti yang berani, lantang, dan kononnya tidak tunduk kepada sesiapa. Tetapi hari ini, apa yang kita saksikan?
-
“Pilihan raya kerajaan tempatan? Dibekukan. Pengiktirafan UEC? Hilang entah ke mana. Janji reformasi institusi? Senyap sunyi,” – Bekas Naib Presiden MCA, Datuk Seri Ti Lian Ker.
-
“Maka, apabila Anthony Loke cuba menonjolkan diri sebagai pemimpin lantang dengan menghina MCA, beliau sebenarnya sedang menelanjangkan kelemahan sendiri. DAP di bawah pimpinannya sudah tidak lagi berani, tidak lagi lantang, dan sudah menjadi bayangan MCA 2.0,” kata Datuk Seri Ti Lian Ker.
KUALA LUMPUR — Bekas Naib Presiden MCA, Datuk Seri Ti Lian Ker menyifatkan DAP di bawah kepimpinan Anthony Loke Siew Fook ketika ini telah berubah menjadi MCA 2.0 dengan retorik yang kosong.
Kenyataan itu dilihat dikeluarkan susulan Loke yang merupakan Setiausaha Agung DAP sebelum ini menegaskan bahawa parti itu boleh berfungsi dan berkembang maju tanpa bergantung kepada MCA, serta tidak pernah menyatakan minat untuk bekerjasama dengan parti komponen Barisan Nasional (BN) tersebut.
Ti berkata ini adalah kali keempat Loke menghina MCA secara terbuka, selepas beliau pernah berkata “tidak suka MCA”; “tidak peduli dengan MCA” dan menyindir MCA dengan meminta parti itu agar “jangan perasan.”
“Namun, ironinya, dalam setiap kenyataan angkuh Anthony Loke terhadap MCA, beliau sebenarnya tidak sedar bahawa DAP sendiri sudah berubah menjadi MCA 2.0.
“DAP jadi apa yang pernah mereka hina. Selama puluhan tahun, DAP mengejek MCA sebagai lemah, tunduk kepada UMNO, dan tidak berani bersuara dalam kerajaan Barisan Nasional. DAP menjanjikan diri mereka berbeza — parti yang berani, lantang, dan kononnya tidak tunduk kepada sesiapa. Tetapi hari ini, apa yang kita saksikan?
“Pilihan raya kerajaan tempatan? Dibekukan. Pengiktirafan UEC? Hilang entah ke mana. Janji reformasi institusi? Senyap sunyi,” tegasnya dalam hantaran di Facebook pada Isnin.
Lebih teruk kata beliau adalah apabila dalam isu-isu besar yang melibatkan rakan gabungan mereka, DAP memilih untuk berdiam diri. Sedangkan dulu, MCA dikatakan tunduk kepada UMNO, dan hari ini DAP dilihat menunduk lebih rendah daripada itu.
“DAP suatu masa dahulu melaungkan “ubah” dan “lawan tetap lawan.” Tetapi hari ini, di bawah kepimpinan Loke, laungan itu bertukar menjadi kowtow politik.
“Mereka yang suatu ketika dahulu melaungkan idealisme kini tunduk demi kuasa. Mereka yang menjanjikan demokrasi tempatan kini menangguhkan janji itu. Mereka yang berikrar untuk menuntut keadilan Teoh Beng Hock kini meninggalkannya sebagai sejarah pahit yang tidak lagi disebut,” dakwa Ti.
Tambah beliau, veteran dan bekas pemimpin DAP seperti Tan Sri Lim Kit Siang serta Datuk Seri Karpal Singh pernah dihormati atas keberanian mereka berpegang kepada prinsip.
Ujarnya, mereka mungkin tidak sempurna, tetapi suara mereka mewakili idealisme dan integriti.
“Anthony Loke? Beliau jauh sekali daripada aura dan prinsip Lim Kit Siang atau Karpal Singh. Jika mahu dibandingkan, beliau sebenarnya lebih mirip kepada Ling Liong Sik, bekas Presiden MCA yang sinonim dengan kompromi politik.
“Ironinya, Ling Liong Sik masih kelihatan lebih baik kerana sekurang-kurangnya beliau konsisten dengan pendiriannya, sedangkan Loke tampil dengan keangkuhan tetapi gagal menzahirkan keberanian politik yang dijanjikan DAP.
“Maka, apabila Anthony Loke cuba menonjolkan diri sebagai pemimpin lantang dengan menghina MCA, beliau sebenarnya sedang menelanjangkan kelemahan sendiri. DAP di bawah pimpinannya sudah tidak lagi berani, tidak lagi lantang, dan sudah menjadi bayangan MCA 2.0,” katanya.
Ti berkata walaupun MCA kecil dan dianggap tidak relevan, ia tetap konsisten dengan pendiriannya berbanding DAP yang dahulu melaungkan diri sebagai “pembawa harapan”, kini berubah menjadi MCA versi baharu, dengan lebih banyak kegagalan dan keangkuhan.
Beliau juga mengingatkan Loke agar berhati-hati dengan kata-katanya kerana masyarakat Cina hari ini bukan menunggu untuk mendengar hinaan terhadap MCA, tetapi mereka ingin melihat DAP benar-benar berfungsi lebih baik daripada MCA. — The Merdeka Times