Terkini
(VIDEO) Sistem pendidikan Islam, termasuk sekolah pondok menuju kemusnahan – Pengasas SINAR
KUALA LUMPUR — Seorang pengasas dan mudir sebuah pusat pengajian, Sekolah Islam Nur al-Azhar (SINAR) menyifatkan sistem pendidikan Islam di negara ini, membabitkan sekolah pondok dan tahfiz kini menuju ke arah kemusnahan.
Rohidzir Rais berkata, perkara itu berlaku kerana ketiadaan sijil yang boleh mengiktiraf ilmu serta kelayakan pelajar lepasan tahfiz dan pondok untuk melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi.
Jelas beliau, pembatalan sistem muadalah di Universiti Al-Azhar Mesir yang digantikan dengan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) menjadi antara punca utama berlakunya kejatuhan dalam sistem pendidikan Islam, terutama sekolah pondok.
“Untuk STAM perlukan SPM, menyebabkan pelajar-pelajar pondok dan tahfiz yang tidak mengikut arus perdana, terpaksa buat ‘U-turn’ untuk ambil SPM dan sebagainya, atau dia tidak dapat sambung ke mana-mana lagi.
“Sekarang pula STAM mengambil masa tiga tahun iaitu Tingkatan Empat, Lima dan Enam, pelajar yang dah hafal Al-Quran dia akan ambil fast track SPM, Tingkatan Lima, dia tak boleh ambil STAM jadi dia nak ke mana lagi?,” soalnya ketika menjadi panel di program Analisis Bersama Finaz Yunus yang disiarkan di Youtube The Merdeka Times baru-baru ini.
Beliau menegaskan, masalah itu hanya boleh diselesaikan sekiranya diwujudkan sijil khas setaraf SPM bagi pelajar tahfiz dan pondok, tanpa perlu melalui sistem peperiksaan arus perdana.
Katanya, kewujudan sijil tersebut bukan sahaja membolehkan pelajar melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi, malah mampu meningkatkan keyakinan ibu bapa untuk menghantar anak-anak ke sekolah tahfiz dan pondok.
Ketika ini, pelajar aliran tahfiz masih tidak dapat meneruskan pengajian mereka berikutan ketiadaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Agama (STAM).
Namun Januari lalu, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi mengumumkan inisiatif kerajaan dalam usaha mengiktiraf pelajar tahfiz yang menghafal 20 juzuk al-Quran untuk dikurniakan Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) Tahap 3 manakala yang berjaya menghafal 30 juzuk dikurniakan SKM Tahap 5.
Usaha itu sedang dilaksanakan Jawatankuasa Majlis Pendidikan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) negara bersama Agensi Kelayakan Malaysia (MQA).
Pengiktirafan tersebut bagaimanapun hanya akan diberikan kepada pelajar atau lepasan institusi tahfiz yang berdaftar, memandangkan langkah itu dibuat bagi memantapkan penerapan TVET di institusi tahfiz bagi melahirkan hafiz profesional.— The Merdeka Times

Daftarkan Anak Anda Sekarang! https://sinarazhari.com/
Facebook SINAR : https://www.facebook.com/sinarazhari
Tiktok SINAR : https://www.tiktok.com/@sinarazhari
Sebarang pertanyaan hubungi :
019-3459257 (Mudir – Ustaz Rohidzir Rais)
011-11789748 (Tim. Mudir – Dr. Akbar Sarif)