Connect with us

Terkini

(VIDEO) SINAR sedia laluan pelajar tahfiz, pondok ke Universiti al-Azhar seawal usia 14 tahun

Published

on

Foto: Pengasas dan Mudir SINAR, Rohidzir Rais

KUALA LUMPUR — Sekolah Islam Nur al-Azhar atau singkatannya SINAR adalah sebuah pusat pengajian Islam yang menyediakan laluan buat pelajar menyambung pengajian di Universiti al-Azhar seawal usia 14 tahun.

Sekolah yang beroperasi di Port Dickson, Negeri Sembilan itu menggunakan silibus Bu‘uth Al-Azhar di mana kesemua kitab digunakan, termasuk untuk subjek Sains, Matematik, Biologi, Kimia, Geografi dan lain-lain adalah dalam bahasa Arab.

Bercakap kepada The Merdeka Times, Pengasas dan Mudir SINAR, Rohidzir Rais berkata pendekatan itu membolehkan pelajar dapat memasuki pengajian dalam bidang syariah, usuluddin atau bahasa.

Malah, turut berpeluang memasuki bidang perubatan, kejuruteraan dan sains serta bidang lain di bawah Universiti al-Azhar yang masih banyak belum diterokai oleh rakyat Malaysia.

“Jadi kalaulah nanti pelajar-pelajar SINAR ini menjadi seorang ustaz, dia akan menjadi ustaz yang mempunyai ilmu Sains, Geografi, Matematik, dia boleh menjawab bila orang tanya tentang isu-isu ni.

“Kalau dia jadi engineer, dia jadi doktor dan sebagainya yang siang dia boleh jadi pakar bedah jantung orang misalnya, malam dia ubati jiwa manusia dengan kuliah dan sebagainya.

“Inilah yang kita maksudkan Islamization of Knowledge dan ia berlaku di SINAR hari ini,” katanya ketika menjadi panel di program Analisis Bersama Finaz Yunus yang disiarkan di Youtube The Merdeka Times baru-baru ini.

Mengulas lanjut, Rohidzir berkata sekolahnya kini mempunyai sijil syahadah yang diiktiraf Universiti al-Azhar, sekali gus membuka peluang bukan sahaja kepada pelajar SINAR, malah juga pelajar tahfiz dan pondok lain yang berdepan kesulitan menyambung pengajian ke universiti berkenaan.

Beliau menambah, setakat ini sudah ada beberapa pelajar pondok yang bertahun-tahun mendalami kitab namun tidak memiliki sijil diiktiraf seperti SPM, berjaya dihantar menyambung pengajian di Mesir menerusi laluan ditawarkan SINAR.

“Alhamdulillah, saya sudah selamatkan lima hingga enam orang pelajar seperti ini. Mereka hafaz al-Quran, bijak, alim, tetapi tanpa sijil mereka tidak boleh pergi ke mana-mana.

“Kalau tak ke universiti ilmu mereka (di sekolah pondok) tidak diiktiraf sebab tidak ada BA (Ijazah Sarjana Muda), nak Master dan sebagainya semua sekarang memerlukan BA, Master, PhD dan sebagainya.

“Jadi SINAR akan membuka laluan yang lebih luas lagi untuk pelajar-pelajar tahfiz ini menyambung pengajian ke universiti,” katanya sambil menyatakan setakat ini, 51 orang pelajar telah pun berjaya menyambung pengajian di Universiti al-Azhar .

Untuk makluman, tawaran untuk pengambilan pelajar baharu ke SINAR akan dibuka pada 15 November ini bagi Sesi 2026.— The Merdeka Times

 

 

Daftarkan Anak Anda Sekarang! https://sinarazhari.com/

Facebook SINAR : https://www.facebook.com/sinarazhari
TikTok SINAR : https://www.tiktok.com/@sinarazhari

Sebarang pertanyaan hubungi :

019-3459257 (Mudir – Ustaz Rohidzir Rais)
011-11789748 (Tim. Mudir – Dr. Akbar Sarif)

Please follow and like us:
error20
fb-share-icon0
Tweet 20
fb-share-icon20

Author